Ahad, 1 Februari 2015

Dirompak, Badrul Hisham cekal tamatkan jelajah berbasikal UK-Msia

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Graduan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal Universiti Sheffield, Badrul Hisham Burhanuddin, 24, cekal mengejar impian menamatkan kayuhan London – Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Antara rintangan yang terpaksa dilalui beliau termasuk  dirompak dua lelaki Kurdis di lebuh raya tidak jauh sempadan Turki dan Syria.

3857114492Badrul Hisham berkata pelbagai rintangan yang dilaluinya itu banyak mengajar supaya lebih cekal dalam menempuhi kehidupan.

“Pengalaman pertama yang mengubah saya, semasa saya dirompak dua Kurdistan.

“Mereka datang tiba-tiba minta duit. Saya terkejut sebab sebelum ini orang Turki baik-baik, datang bagi makanan, minuman dan lain-lain tetapi kali ini dirompak.

“Masa itu dalam dompet saya ada RM1,000 dan mereka ambil sendiri duit dalam dompet tetapi tak ambil semua, mereka ambil RM300 sahaja,” kata Badrul Hisham ketika dihubungi Selangor Kini.

Tambah Badrul Hisham, bagaimanapun dua perompak itu mengubah fikiran mereka dengan memulangkan semula wang RM100.

“Mungkin sebenarnya mereka bukan perompak tetapi disebabkan tekanan hidup, tak ada kerja sebab di sempadan Turki – Syria tengah panas dengan kumpulan pejuang Negara Islam (Isis).

“Selepas itu dia bagi saya rokok dan kami sempat berbual,” kata Badrul Hisham lagi.
badrul1
Peristiwa itu menjadikan Badrul Hisham lebih cekal untuk menghadapi sebarang cabaran demi mencapai impian beliau.

“Saya nasihatkan remaja di luar sana agar, fokus dan tak lemah semangat bila ada cabaran mengejar impian. Lakukan sungguh-sungguh.

“Saya percaya mengejar impian penting. Ujian dan cabaran itu pasti ada tetapi ketabahan mengejar impian itulah menjadikan kita manusia,” kata Badrul Hisham.

Badrul Hisham yang berasal dari Klang, Selangor memulakan kayuhan berbasikal dari London untuk pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya di sana.

Beliau yang pada awalnya diiringi dua lagi rakyat Malaysia berpecah di Paris disebabkan mempunyai sasaran tempoh yang berbeza.

Selepas hampir lima bulan berbasikal dengan jarak perjalanan 11,000 kilometer, Badrul Hisham tiba di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam 27 Disember lalu .EZY

Tiada ulasan: