Banjir kilat landa Melaka
 
 
BANDARAYA MELAKA - Beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam, malam kelmarin.

Antara kawasan teruk terjejas adalah Kampung Pantai, Tengkera serta Kampung Pulau Kelapa, di mana di sesetengah kawasan, air naik setinggi satu meter ekoran hujan lebat yang bermula kira-kira jam 9 malam.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Melaka berkata, satu pusat pemindahan dibuka di Surau Tengkera 1 bagi menempatkan satu keluarga yang terjejas dengan banjir berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, menjelang pagi, mereka sudah mulai pulang ke kediaman mereka selepas air mulai surut.

"Anggota JPAM Melaka berada di lokasi bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya di sini semalam.

Menurut jurucakap berkenaan, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit,

Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Rahman Muhammad, 49, berkata, dia sekeluarga mula memindahkan barangan ke surau berhampiran kediamannya selepas ketinggian air mula meningkat.

“Saya mula menyedari air banjir semakin naik kira-kira jam 11 malam dan saya terus meminta anak saya mengangkat barang dari rumah ke surau,” katanya.