Arak haram di sisi Islam dan terbukti memudaratkan kesihatan.
Arak haram di sisi Islam dan terbukti memudaratkan kesihatan.
 
 
SHAH ALAM - [Dikemaskini] Cadangan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam dilihat amat wajar kerana minuman keras membawa elemen mudarat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kepentingan dan kesejahteraan masyarakat jauh lebih penting daripada kepuasan individu yang meminum arak.

“Arak harus dilihat sebagai satu elemen yang tidak sihat, tidak kira dalam kalangan masyarakat Islam atau bukan Islam. Walaupun bukan Islam merasakan itu hak mereka, tapi kalau boleh jejaskan keharmonian masyarakat majoriti, maka syarat penjualannya wajar diperketat.

“Apatah lagi di kawasan majoriti orang Islam, perlu dibuat syarat agar arak tidak dijual di situ. Oleh itu, kita sokong sepenuhnya langkah yang diambil Kerajaan Melaka,” katanya, semalam.

Menurutnya lagi, peraturan itu juga dapat mengehadkan akses kepada orang Islam untuk membeli dan meminum arak.

“Cara ini sama seperti menghalang orang Islam memasuki premis judi. Jadi apabila ada batasan ini, orang Islam akan dapat kesedaran sendiri bahawa perbuatan itu memang salah di sisi agama,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaannya juga perlu diperluaskan ke semua negeri dan disarankan kepada peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Malaysia merupakan antara negara dengan penggunaan arak tertinggi di dunia. Imej ini tidak sesuai dengan negara yang mengutamakan gaya hidup sihat dan moral yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan peraturan baharu tersebut perlu dipandang dari sudut positif dan tidak dijadikan isu politik.

“Dahulu kerajaan Selangor pernah mahu melakukan pendekatan sama di Shah Alam. Namun malangnya ia menjadi polemik dalam pentadbiran PR.

“Perkara ini tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya sensitiviti umat Islam perlu diambil kira. Kita yakin larangan penjualan arak di kawasan yang padat orang Melayu dapat kekang pembelian arak, terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Selain itu katanya, pendekatan tersebut perlu dicontohi negeri lain kerana bukan saja bertepatan dengan prinsip Perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi turut meraikan pelbagai agama lain.

“Dalam keadaan kita yang disesuaikan terhadap bukan Islam, tiada halangan untuk mereka minum minuman keras. Namun, pada masa sama perlu ada polisi pengehadan jualan di kawasan majoriti Islam dan penguatkuasaan kepada orang Islam yang beli arak juga harus diketatkan,” katanya.