SUNGAI PETANI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah akan menggembleng seluruh anggota untuk berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya Selasa ini bagi menzahirkan sokongan kepada Ketua Umum, Saudara Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Mohd Ridhwan Mohd Razali berkata, komitmen dan solidariti tersebut mampu membuktikan kepada Umno Barisan Nasional (BN) mengenai penolakan rakyat terhadap campur tangan mana-mana pihak dalam sistem perundangan negara.
“Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari ini akan memberi kesan besar serta bakal mencipta pelbagai persepsi terhadap institusi kehakiman negara.
“Sehubungan itu, AMK Negeri menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat turun ke Istana Kehakiman sebagai tanda sokongan kepada Ketua Pembangkang dan juga untuk membuktikan bahawa Pakatan tetap utuh meskipun seringkali dicanang media arus perdana dengan menggambarkan ketidakharmonian dalam Pakatan,” katanya dalam kenyataan.
AMK kata Mohd Ridhwan, juga yakin keputusan Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada Anwar berdasarkan kepada kekuatan hujah, bukti serta fakta-fakta yang dikemukakan pasukan pembelaan sepanjang perbicaraan kes Fitnah II ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan