MALAYSIAKINI
Sambutan ambang Thaipusam di Batu Caves di Kuala Lumpur terjejas selepas
bekalan elektrik ke Kuil Subramaniyar Swami terputus pada pukul 8.53
malam ini dan sehingga tengah malam ini, bekalan elektrik ke kawasan itu
belum dipulihkan.
Ribuan penganut yang membanjiri perkarangan kuil tersebut untuk
melaksanakan upacara nazar serta pembawa kavadi berada dalam keadaan
tidak bersedia untuk berdepan dengan situasi di luar jangkaan itu.
Menurut seorang anggota jawatankuasa kuil tersebut, N. Sivakumar berkata
Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha untuk memulihkan bekalan.
Berikutan terputus bekalan elektrik, sebuah penjana kuasa bersaiz besar
digunakan oleh TNB untuk menerangi perkarangan kuil tersebut namun
bekalan itu tidak stabil, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ini kali pertama Batu Caves bergelap semasa perayaan Thaipusam.
Sementara itu cahaya, daripada bulan penuh, lampu sorot dan lampu dari
gerai-gerai berhampiran membantu menerangi kawasan itu untuk membolehkan
penganut meneruskan upacara keagamaan mereka.
Sivakumar berkata anggota jawatankuasa kuil sedang berusaha untuk
mendapatkan dua lagi penjana kuasa sokongan kepada penjana kuasa TNB
yang sedia ada.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata keadaan di Batu Caves terkawal walaupun bergelap.
"Kawasan yang bergelap ialah di sekitar tangga Batu Caves, tempat-tempat
lain masih ada lampu lagi. Sekarang ini bekalan belum dipulihkan lagi
dan TNB sedang memeriksa punca bekalan elektrik terputus," katanya
ketika dihubugi Bernama.
Beliau berkata sambutan itu masih diteruskan dan penganut agama Hindu
tidak perlu bimbang kerana polis sentiasa berkawal dalam apa jua
keadaan.
Dalam pada itu, acara lawatan Menteri Besar Selangor Azmin Ali ke tapak
perayaan Thaipusam di sini tergendala akibat gangguan bekalan elektrik
tersebut.
Azmin yang tiba jam 8.15 malam sepatutnya berucap pada majlis itu tetapi
terpaksa membatalkan ucapan apabila bekalan elektrik terputus.
Beliau kemudian bergerak ke satu lagi acara lain berdekatan dengan kawasan tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Azmin berkata kejadian itu
adalah di luar jangkaan dan pihak pengurusan kuil sedang mengenal pasti
punca kejadian.
"Tetapi saya fikir keadaan tidak akan menjejaskan kemeriahan sambutan di sini," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung S.Deva berkata sepanjang 30 tahun
beliau menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves, belum pernah
kejadian seperti itu berlaku.
"Ini kali pertama berlaku. Tapi saya rasa ia tidak bermaksud apa-apa
cuma sedikit gangguan. Sambutan dan upacara keagamaan masih boleh
berjalan seperti biasa.
"Cuma ia akan sedikit terganggu. Tapi di dalam gua (Batu Caves) ada disediakan penjana kuasa dan ia masalah," katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Maniapan,
keadaan itu tidak menjejaskan upacara di tempat itu dan mungkin nampak
tidak meriah tanpa cahaya berwarna-warni.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan