Jumaat, 28 November 2014

Subsidi hapus, lepas ini apa pula?




Oleh:HAMBALI AKRAM


SELEPAS puas berpencak silat, akhirnya subsidi petrol dihapuskan dan bermula 1 Disember 2014. Harga bahan bakar ini akan mengikut harga semasa dunia. Begitulah khabarnya kepada kami rakyat Malaysia yang tidak berapa faham sangat tentang permainan harga minyak ini.

Bagi rakyat seperti saya, yang lebih penting ialah harga bahan bakar ini mestilah tidak membebankan kehidupan rakyat secara keseluruhannya, tidak kira ada subsidi atau tidak

Bahkan selama berpuluh-puluh tahun, rakyat diulit ceritera tentang keperluan harga minyak dinaikkan – dengan alasan itu dan ini. Daripada alasan yang cerdik kepada alasan yang paling bangang.

Sebagai rakyat, yang kami maklum bahawa setiap kenaikan harga minyak atau yang cuba dilunakkan dengan ungkapan pengurangan subsidi – ialah akan berlaku rantaian kenaikan harga barangan lain. Maklumlah, semuanya ada kaitan dengan harga bahan mentah ini. Daripada sekecil-kecil mancis hingga sebuah banglo.

Selepas subsidi yang dikatakan berjumlah bilion ringgit ini dihapuskan, saya ingin tahu ke manakah duit itu akan diagihkan selepas tidak lagi digunakan untuk rakyat. Adakah akan diagihkan sesama pak menteri? Adakah dikembalikan kepada rakyat seperti rumah untuk rakyat miskin? Atau bagaimana?

Yang membimbangkan saya ialah, subsidi tiada dan duit itu juga lesap entah ke mana. Masihkah rakyat ingat ketika Pak Lah menjadi perdana menteri dan menaikkan harga minyak dengan alasan untuk digunakan meningkatkan taraf perkhidmatan pengangkutan awam. Sehingga sekarang sistem pengangkutan awam tidak banyak berubah dan duit itu juga hilang dibawa angin!

Kini, tidak mustahil perkara yang sama berlaku pada zaman Pak Lah akan berulang pada zaman Pak jib.

Selepas penghapusan subsidi petrol dan diesel ditarik balik, rakyat akan berhadapan pula dengan pelaksanaan penuh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun depan.

Khabarnya, semua yang dilaksanakan itu demi kebaikan rakyat terbanyak. Selepas ini, apa pula yang ditarik daripada rakyat? Sama-sama kita tunggu dan lihat

Tiada ulasan: