Selasa, 25 November 2014

Presiden FAS: Azmin tunggu selepas 3 Dis

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menjelaskan masih terlalu awal untuk memberi sebarang reaksi berkenaan pelantikannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan perancangan untuk kemajuan bola sepak di negeri itu.

“Saya ingat terlalu awal untuk mengambil pendirian terbabit sehingga proses ini selesai pada 3 Disember akan datang,” katanya dipetik Selangor Kini.

Bagaimanapun, beliau akan mengadakan perbincangan bersama exco FAS berhubung segala perancangan dan kaedah sesuai yang akan diguna pakai bagi melonjak kembali semangat serta prestasi bola sepak di Selangor jika perkara itu bernar berlaku.

“Saya kira penting untuk membantu anak muda di Selangor ini supaya terbabit secara langsung dalam bidang sukan yang dapat dilonjakkan daripada perancangan yang lebih strategik dan baik,” katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Eksekutif FAS sebulat suara bersetuju melantik Mohamed Azmin sebagai Presiden FAS yang baru.

Memetik laman web persatuan, pelantikan Mohamed Azmin itu bagaimanapun hanya akan disahkan dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kelab Shah Alam, pada 3 Disember ini.

Tiada ulasan: