Ahad, 9 November 2014

Pondok terakhir di Kg Chubadak Tambahan

MALAYSIAKINI



 


Tempat tinggal Wahidah Salleh, 72, kini hanyalah sebuah pondok beratap kanvas dengan dinding papan lapis dan berlantaikan kayu reja.

Ketika ditemui Malaysiakini, nenek kepada lapan orang cucu yang lebih mesra disapa dengan panggilan Opah sedang memasak sendirian di sudut pondok yang dijadikan dapur.

Lauk yang dimasaknya cukup sederhana – ikan goreng dan sayur tumis. Di luar, raungan jentolak yang meratakan tanah di belakang pondoknya memecah keheningan.

Jentera berkenaan pada 28 Oktober lalu meranapkan rumahnya yang didiami sejak 45 tahun lalu, serta lapan lagi rumah lain di Kampung Chubadak Tambahan.

Musim hujan yang melanda ceruk Kuala Lumpur itu membawa kebimbangan baru bagi Opah.

“Tanah makin rata, khemah ini banyak barang dan Opah takut ular masuk,” katanya memulakan bicara.

Selain dapur, ruang seluas kira-kira 30 meter persegi itu memuatkan televisyen, tempat tidur serta barangan yang sempat diselamatkan dari rumah asalnya.

Opah berkata, beliau akan terus mendiami tempat itu sehingga tamat tempoh 15 hari sementara menunggu keputusan permohonan bagi mendapatkan pampasan yang lebih setimpal.

Sambil tangannya menumbuk sambal, Opah menceritakan semula saat beliau memulakan hidup baru bersama suaminya, Halim Hamid di Kampung Chubadak Tambahan.

Dalam keadaan pondok serba daif itu, dua orang cucunya, Natasha Norman dan Atikah Azmi yang masing-masing berusia 13 tahun setia menemani dan mendengar cerita neneknya.

Kawasan kampung yang terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar itu baru saja dibuka selepas tragedi 13 Mei baru saja berakhir di Kuala Lumpur pada waktu itu.

Katanya, rumah itu dibeli oleh suaminya yang menyara keluarga dengan memandu teksi di ibu kota.

Tunggu pampasan setimpal

Untuk menampung kos perbelanjaan, Opah turut mengajar anak-anak kampung itu membaca al-Quran.

“Tapi kerana pada ketika itu umur Opah sudah 60 tahun, pejabat pendidikan tidak benarkan Opah mengajar lagi kerana Opah mengajar di rumah, bukan di sekolah,” ujarnya.

Di tanah itulah juga beliau membesarkan empat orang anaknya, kata Opah yang mengimbau kembali kenangan hidupnya di pinggir kota itu.

“Tanah ini sungguh bermakna, seminggu selepas bernikah suami bawa Opah tinggal di sini.

“Opah besarkan anak-anak sehingga mereka berjaya di tanah ini. Jadi opah banyak kenangan di sini, hari ini mereka robohkan rumah Opah.

“Opah sedih tapi Opah mesti lawan,” ujarnya dengan tenang, sebelum meminta diri untuk solat Zohor.

Beliau menerima surat daripada pemaju yang memberi kelonggaran kepada penduduk terlibat untuk terus tinggal di tanah itu untuk tempoh sehingga 20 November.

“Orang bagi kita pilihan jadi kita pilih dan Opah pilih untuk terus tinggal di sini.

“Biarlah orang lain nak pindah tapi tanah ini Opah sayang, selagi tidak dapat pampasan yang sewajarnya Opah akan terus di sini, biarlah apa orang nak cakap,” katanya.

Lapan lagi pemilik rumah lain sudahpun berpindah selepas menerima surat tawaran pemaju, katanya.

Anak kelahiran Lenggong, Perak ini kecewa kerana pampasan yang ditawarkan itu dilihatnya tidak adil dan berat sebelah.

“Opah hairan, kenapa ada yang dapat pampasan RM70,000 ada juga yang RM80,000 tapi Opah dahulu hanya ditawarkan pampasan RM7,500.

“Tak masuk akal, jadi beri pampasan yang sesuai buat Opah, barulah Opah pindah,” katanya lagi sambil melipat kain telekungnya.

Anggota penduduk kampung membentuk Gerakan Rakyat Bela Kampung Chubadak Tambahan (BELA) dan membuat bantahan di pejabat pemaju pada 31 Oktober lalu.

Susulan itu, syarikat pemaju, Melati Ehsan Group bersetuju memberi ganti dalam bentuk rumah kos rendah yang akan dibina di Kampung Chubadak.

Bagaimanapun, Opah tetap menuntut agar bayaran pampasan setimpal diberikan termasuk kos perpindahan dan bayaran sewa rumah sementara di PPR Batu Muda.

Pemaju juga bersetuju untuk tidak menuntut kos mahkamah dan bayaran ke atas kes yang dimenangi oleh pihak pemaju berhubung pemilikan ke atas tanah di Kampung Chubadak Tambahan.

Meskipun ia khabar yang cukup menggembirakan, namun masih tergambar kesedihan di wajah Opah Wahidah.

Gaya hidupnya akan berubah. Rumah barunya tidak lagi berhalaman tetapi hanya salah satu daripada petak konkrit rumah pangsa, puluhan lapis tingginya.

Beliau tidak akan dibenarkan membela haiwan ternakan, seperti di Kampung Chubadak Tambahan yang dicintainya.

“Opah sukalah dapat rumah baru tapi di sini tempat Opah, nanti kalau Opah dah pindah dekat PPR macam mana nak bawa semua barang Opah?

“Kalau ada ayam bolehlah Opah sembelih buat makan sekarang sebelum Opah berpindah kerumah baru.

“Orang dekat PPR itu mesti tidak suka kalau Opah bawa binatang, itu lihat kucing Opah baru beranak malam tadi,” katanya.

Sambil makan bersama wartawan, Opah Wahidah menjengah keluar melihat cucunya Natasya dan Atikah yang asyik menikmati makan tengahari di luar pondok.

Di langit, awan gelap bergumpalan, tanda hujan lebat akan turun. Opah Wahidah membetulkan duduknya sambil mengirim pesan pada kumpulan anak muda yang turut berdemo di Sentul, Jumaat lalu.

“Jangan patah semangat. Berjuang jangan kira umur, Opah sudah 72 tahun tapi Opah tak akan bagi peluang untuk orang ambil kesempatan,” katanya lagi.

Di luar pondok daif itu, hujan mulai turun membasahi tanah kesayangannya.

Tiada ulasan: