Khamis, 20 November 2014

PAS lancar Anjung Budaya esok

MUHAMMAD FAIZAL



 

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat akan melancarkan Anjung Budaya pada 20 November, esok di MyHarakah Bazaar.

Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam ketika dihubungi berkata penyediaan Anjung Budaya ini sebagai usaha atau inisiatif PAS dalam menghargai golongan seni dalam negara ini.

"Sebelum ini PAS tidak menyediakan tempat untuk golongan karyawan mengetengahkan bakat mereka, dengan pelancaran Anjung Budaya ini ada ruang untuk mereka berkarya.

"Dalam pada itu kita telah mempunyai perancangan khusus yang mana program di Anjung Budaya akan diadakan setiap hari Ahad minggu kedua setiap bulan," katanya.

Menurut beliau lagi, dengan perancangan dan tempat yang telah disediakan ini secara tidak langsung PAS dapat mendekati golongan-golongan seni.

"Kita telah menyediakan perancangan selama setahun, kita akan menjemput artis, penyanyi, pelakon mahupun penyair hadir membuat persembahan mereka.

"Kita bukan menolak seni tetapi kita menghargai mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini, termasuk juga mereka yang pandai melukis turut kita jemput," sambung beliau.

Sementara itu, pelancaran Anjung Budaya akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada jam 2.30 petang esok.

Selain pelancaran, Harakah turut mengadakan pogram bual bicara bagi membincangkan topik "PAS Peduli Seni".

Antara yang dijemput menjadi panel termasuk Wan Aishah Wan Ariffin, Abby Abadi, Ito Blues Gang dan Dr Muhaimin sendiri.

Manakala moderatornya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ridhuan Mohd Nor.

Program itu juga akan diserikan dengan persembahan Busking leh Zuar XPDC. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: