Harussani Zakaria Harussani Zakaria
 
 
SHAH ALAM - Ada fatwa boleh dipinda, tetapi ada yang tidak boleh diubah selama-lamanya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, fatwa yang berasaskan al-Quran dan hadis tidak boleh dipinda.

Bagaimanapun, katanya, ada fatwa yang boleh dipinda, iaitu dalam keadaan ijtihadi, berasaskan ijmak dan kias.

“Ijtihadi bermaksud sesuatu perkara berlaku kerana perkara itu tidak ada, atau dalam keadaan berlainan.

“Contohnya, mengikut hadis, untuk tentukan hari raya kena lihat anak bulan, tetapi jika berlaku keadaan seperti awan tebal dan anak bulan terlindung, maka ia dikira ijtihadi.

“Jadi boleh guna kaedah perkiraan untuk tentukan tarikh hari raya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan fatwa perlu disemak semula kerana terdapat fatwa yang sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

Beliau berkata, dalam kes autopsi mayat, umpamanya, mengikut hukum tidak boleh menyeksa mayat.

Katanya, dari segi syarak autopsi boleh dilakukan jika ada keperluan seperti mayat adalah mangsa pembunuhan atau ada menelan barang curi.

“Namun dengan kecanggihan teknologi pada zaman sekarang, autopsi sudah tidak memerlukan pembedahan, tetapi boleh dilakukan secara maya,” katanya.

Berhubung kenyataan Dr Mahathir bahawa tafsiran ulama selalunya berbeza antara satu sama lain dan boleh menyebabkan perpecahan ummah, Harussani berkata, perbezaan pendapat berlaku di seluruh dunia dalam pelbagai aspek.

“Apa yang berlaku sekarang adalah perbezaan pendapat yang menentang syariat.

“Ada perbezaan antara satu mazhab dengan mazhab lain, tetapi sesuatu mazhab itu tidak menghukum mazhab berlainan,” katanya.