Sabtu, 22 November 2014

Selepas Subsidi Dihapuskan, Ke Mana Perginya Wang Yang Dijimatkan Itu?

shahbudindotcom


Mulai 1 Disember ini, subsidi bagi petrol Ron95 dan diesel akan mula dihapuskan dan penetapan harga bahan bakar itu akan ditetapkan melalui kaedah pengapungan terkawal berdasarkan turun naik harganya di pasaran dunia.

Melalui keputusan terbaru kabinet ini, harga kedua-dua bahan bakar itu akan disemak setiap bulan dan penetapan harga yang akan dibuat pada 1 Disember nanti adalah berdasarkan harga pasarannya pada bulan November dan begitulah seterusnya.

Berdasarkan harga pasaran minyak dunia ketika ini yang menunjukkan kecenderungan untuk terus menurun, adalah dijangkakan harga petrol Ron95 dan diesel yang bakal ditetapkan pada 1 Disember nanti adalah lebih rendah berbanding RM2.30 dan RM2.20 yang dinikmati sekarang.

Bagaimanapun, oleh kerana penentuan harga masih dalam konteks apungan terkawal dan bukannya secara bebas ditentukan oleh syarikat minyak berdasarkan  paras siling, berapa banyak penurunan itu masih lagi bergantung kepada kuasa kerajaan menentukannya.

Tetapi dengan penghapusan subsidi ini juga, sekiranya harga minyak dunia meningkat, maka kita terpaksa membayarnya dengan harga yang lebih mahal juga.

Penghapusan subsidi ini bermakna tiada lagi gred minyak yang berbeza untuk orang kaya dengan orang miskin dan antara warganegara dan rakyat luar. Ketika berada di stesen minyak, semua orang sudah sama tarafnya dan pastinya orang yang kurang berada berasa lebih bangga dan tidak lagi rendah diri berbanding mereka yang selama ini menggunakan Ron97 tanpa subsidi.

Barangkali satu-satunya kejayaan yang boleh dibanggakan dengan penghapusan subsidi ini ialah orang miskin sudah boleh berlagak macam orang kaya.

Ketika harga minyak dunia masih rendah, harga tanpa subsidi ini mungkin agak menggembirakan tetapi ia akan memberi kesan apabila harganya meningkat nanti. Kerajaan bakal berhadapan kecaman yang lebih serius, bahkan mungkin akan ada yang menuntut supaya sistem subsidi dikembalikan semula.

Bagi kerajaan pula, dengan tidak membayar lagi subsidi petrol dan diesel sudah tentulah menjimatkan perbelanjaan yang ditanggungnya. Mengikut apa yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen pada 1 Oktober lalu, jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan pada tahun lepas ialah RM24 bilion setahun, manakala tahun ini pula dijangka antara RM21 hingga RM22 bilion setahun atau dengan kata lain kira-kira RM2 bilion sebulan.

Menurut Ahmad Maslan yang bangga dengan CGPA 3.85 yang dicapainya, subsidi RM2 bilion sebulan itu "hangus terbakar" begitu saja sedangkan dengan jumlah yang sama boleh membina 2000 dewan orangramai berharga RM1 juta di 2000 buah kampung, empat universiti sebulan dengan harga RM500 juta sebuah (48 universiti setahun) dan 2000 kilometer jalan kampung di Sabah dan Sarawak.

Namun, amatlah sedih dan malangnya, kata timbalan menteri itu lagi, semua projek pembangunan seumpama itu tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan disebabkan terpaksa membayar subsidi yang akhirnya "hangus terbakar gitu-gitu saja".

Nah, dengan keputusan kerajaan menghapuskan subsidi  petrol serta diesel dan dapat menjimatkan RM2 bilion sebulan ini, adalah diharapkan kerajaan segera menunaikan iltizam pembangunan yang didakwanya terhalang selama ini semata-mata kerana beban subsidi itu.

Moga selepas ini rancaklah pembangunan di seluruh negara dengan pembinaan dewan-dewan dan jalan-jalan kampung yang lebih merata. Semoganya juga, di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Najib Razak dan Pontian yang diwakili oleh Ahmad Maslan, lebih banyak pembangunan dicurahkan dan makin berkurangan penduduknya yang miskin.

Dalam masa yang sama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam reaksinya mengenai penghapusan subsidi ini, adalah diharapkan juga kerajaan segera mengumumkan penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat-peringkat agar rakyat dapat menikmati harga kenderaan yang lebih murah sebagaimana negara-negara lain.

Selama ini, katanya kerajaan sering berdalih untuk menghapuskan cukai eksais itu dengan alasan rakyat sudah pun menikmati subsidi petrol dan diesel yang tinggi.

Beliau menjangkakan, jika cukai itu tidak dihapuskan, kerajaan akan mengutip sekitar RM17.3 bilion pada tahun depan tanpa sedikit pun ianya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Berdasarkan hakikat ini, jika jumlah cukai ini dicampur dengan beban subsidi yang dapat dijimatkan, kerajaan sebenarnya mempunyai lebih banyak wang dalam genggamannya. Jumlah itu tentunya bertambah lagi kiranya dicampur lagi dengan tambahan pendapatan melalui cukai GST yang mula dikuatkuasakan pada April 2015 nanti.

Persoalannya, ke manakah perginya lebihan wang itu nanti? Adakah pembangunan dan keselesaan rakyat yang bertambah atau pembaziran dan kemewahan pemimpin yang kian meningkat?

Tiada ulasan: