Ahad, 14 September 2014

Segera duduk semeja jangan sampai rakyat muak

 WARTA UTARA


GEORGETOWN: Para pemimpin Pakatan Rakyat disaran selalu duduk semeja bagi menyelesaikan masalah yang timbul sekali gus merangka strategi untuk menghadapi BN, kata Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Rosidi Husein

“Saya harap semua pemimpin Pakatan Rakyat kembali duduk semeja berbincang untuk kita terus mara.

Usaha sayap pemuda dan wanita parti-parti Pakatan Rakyat untuk menjernihkan keadaan perlu didukung semua,” tegasnya ketika diminta mengulas perkembangan berhubung krisis pertukaran Menteri Besar Selangor.

Menurut beliau, rakyat pastinya gembira melihat kesepaduan Pakatan Rakyat  khususnya untuk berhadapan dengan pilihan raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Kelantan penghujung September ini.

Rosidi mahu lanskap politik baru yang diterokai Pakatan Rakyat diteruskan.

“Halakan laras senapang kita kepada Umno dan BN supaya rakyat tidak muak. Kumpulkan kekuatan kita kembali untuk berhadapan dengan BN yang meneruskan dasar-dasar tidak menguntungkan rakyat.

Beliau turut menasihati pemimpin PAS, DAP dan KeADILan di semua peringkat supaya berlapang dada ketika menghadapi karenah rakan politik.

Pakatan Rakyat, ujarnya sudah berjaya menampilkan kerajaan negeri yang baik, tidak melakukan rasuah, tidak menyeleweng wang rakyat dan seumpamanya.

“Menjadi tanggung jawab bagi pemimpin Pakatan Rakyat di semua peringkat bersatu tenaga dan mencambahkan buah fikiran bagi menghadapi BN dalam PRU14 nanti,” ujarnya.

Tiada ulasan: