Khamis, 12 Jun 2014

Tak macam kilang bihun


Keadaan di depan premis kilang bihun cap masjid. Keadaan di depan premis kilang bihun cap masjid.
 

TIADA tanda-tanda kilang beroperasi atau urus niaga dijalankan sebaik wartawan Sinar Harian tiba di depan sebuah premis kilang bihun.

Premis kilang ini dipercayai gagal mematuhi aspek kebersihan dan sudah diarahkan tutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelmarin.

Semalam, Sinar Harian melaporkan berkenaan kilang bihun berserta gambar-gambar aktiviti pemprosesan yang begitu meloyakan.

Tidak bersih, peralatan digunakan menjijikkan. Banyak perkakas digunakan sudah berkarat dan tidak terurus.

Wartawan Sinar Harian meninjau ke premis itu untuk melihat sendiri keadaan sebenar di situ.

Kami berkumpul di depan sebuah sekolah rendah di Jalan Ipoh, sebelum memulakan perjalanan.

Daripada maklumat awam, lokasi kilang bihun itu sebenarnya berada di sekitar pasar borong Selayang.

Setibanya berhampiran pasar borong Selayang, anggota polis memberi kerjasama dan memaklumkan lokasi sebenar kilang bihun itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pondok polis tersebut.

Sebaik tiba, seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh memberhentikan motosikalnya di depan premis berkenaan.

Namun ketika ditanya adakah beliau pekerja kilang berkenaan, ini jawapannya.

“Saya bukan kerja sini, saya kerja di Shah Alam,” katanya dan terus berlalu, dipercayai ke kawasan kilang lain yang berdekatan.

Jawapan yang diterima amat meragukan dan kami mengambil keputusan melihat keadaan sekeliling.

Notis Penutupan Premis Makanan (DBKL) bertarikh 10 Jun 2014  ditampal di depan kilang. Kilang tiada penghuni namun, lampu di dalam premis terbuka.

Terdapat banyak bungkusan bihun dipercayai cap Masjid (bungkusan berwarna biru) dan bungkusan berwarna merah di dalam kilang.

Premis itu pula kelihatan seolah-olah seperti bengkel kereta. Di depannya terdapat tong-tong dan beberapa barangan yang mungkin sudah tidak digunakan lagi.

Sebaris dengan premis berkenaan pula, terdapat beberapa buah kedai iaitu sebuah restoran yang tiada pelanggan dan sebuah bengkel.

Bersebelahan premis berkenaan pula kedai dua tingkat, di mana tingkat atasnya seperti rumah tinggal.

Laluan masuk ke premis berkenaan juga agak sunyi walaupun di kelilingi bangunan rumah kedai baharu. Di bahagian belakang premis pula kelihatan seperti beberapa alat pemprosesan dan dipenuhi semak.

Berikut merupakan dialog wartawan Sinar Harian dengan seorang pekerja di percayai penjaga premis kilang berkenaan.

Wartawan: Aunty, saya mahu tanya, kilang bihun sebelah tu memang tutup ke?

Pekerja kedai: Saya tak tau. You tanya itu orang la. (sambil menunjuk ke arah seorang lelaki Cina tua berusia lingkungan 50an).
**Lelaki tersebut dipercayai penjaga kilang berkenaan.

Wartawan: Dia siapa?

Pekerja kedai enggan menjawab. Hanya menggeleng kepala dan terus membaca surat khabar tanpa menghiraukan pertanyaan wartawan.

Wartawan: Uncle, kilang bihun sebelah ni tutup ke?

Penjaga kilang: Sudah tutuplah. You apa mau. Tanya-tanya, you mau apa?

Wartawan: Saja tanya. Sudah lama ka tutup?

Penjaga kilang: Tutupla.. You takda tengok ka? Sudah dua minggu tutup ma. Pekerja tak datang. Mesin rosak. You sapa? Dari mana? Apa mau?

Wartawan: Uncle, you tauke ka?

Penjaga kilang : Saya bukan tauke. Saya kuli-kuli saja. You apa mau. You sapa? orang kesihatan ka? (Pegawai Kesihatan). Ke you tulis-tulis (wartawan) punya olang? You ha banyak tanya.. apa you mau..  Ni.. ramai-ramai datang (sejak pagi) amek-amek semua gambar. You buat saya pening la.

Wartawan: Uncle, itu bihun ada jual ka? Kalau saya mahu beli, you jual ka?

Penjaga kilang: Boleh. You mau berapa?

Wartawan: Berapa you jual? Boleh masuk kilang ka tengok?

Penjaga kilang: Masuk tak boleh ma. Saya boleh buka, kasi jual (bihun) sama you. Tapi you tak boleh masuk.

Wartawan: Berapa harga tu bihun?

Penjaga kilang: 10 ringgit.

Wartawan: Tak apa uncle. Saya mahu tanya saja.

Penjaga kilang: Haiya. You ha. Buat saya pening tau. (sambil marah-marah dan kembali duduk di meja restoran bersebelahan kilang bihun berkenaan).

Semalam, Sinar Harian melaporkan sebuah kilang bihun diarahkan tutup oleh DBKL kerana menjalankan operasi dengan tidak mematuhi syarat kebersihan.

Dalam pada itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberitahu logo halal digunakan bukan dikeluarkan Jakim.

Tiada ulasan: