Rabu, 4 Jun 2014

Shahir nafi intim dengan Erra Fazira

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Shahir Zawawi, menafikan dirinya mempunyai hubungan intim bersama primadona filem Melayu alaf baharu, Erra Fazira. 
 
Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu turut mendakwa, dirinya tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya beliau sedang mengenali hati budi aktres jelita yang juga penyanyi terkenal berusia 40 tahun itu. 
 
Bagaimanapun Shahir, 25, mengaku beliau pernah keluar bersama bekas isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin itu, namun atas urusan kerja. 
 
Tegas pemuda terbabit, mereka berbuat demikian kerana bintang jelita berkenaan ada menawarkannya sebuah watak dalam pementasan teater. 
 
Berasakan ada pihak cuba memanipulasi kenyataannya kepada sebuah program hiburan TV, baru-baru ini, penyanyi yang dikenali dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu menegaskan, hubungannya dengan Erra sekadar kawan dalam industri seni dan tidak pernah timbul isu mereka sedang mengenali hati budi masing-masing. 
 
Tidak mahu lagi dipalitkan dengan kontroversi percintaan bersama wanita lebih tua daripadanya, Shahir sebaliknya mahu menumpukan kepada kerjaya muzik dan kembali aktif dalam industri seni suara, setelah agak lama menyepikan diri. 
 
Sebelum ini, artis dari Perak ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon, Rozita Che Wan. 
 
"Saya tidak tahu macam mana boleh timbul isu kami intim dan sedang mengenali antara satu sama lain. Kalau dilihat balik kenyataan saya kepada hlive!, saya tiada pun menyebut mengenai perkara itu. 
 
"Memang kami pernah berjumpa dan keluar bersama beberapa kali, tetapi itu semua atas urusan kerja. Beliau ada menawarkan saya watak Hang Nadim dalam teater Tun Teja, yang akan dipentaskan bulan ini. Disebabkan kesuntukan masa dan saya juga mahu menumpukan kepada single terbaharu, Cerita Kita, jadi saya terpaksa menolaknya," kata Shahir ketika ditemui sewaktu menghadiri sebuah majlis di ibu kota, kelmarin. 
 
Menurutnya, spekulasi yang timbul sejak bulan lalu itu turut memeranjatkan Erra, yang turut bertanyakan hal berkenaan kepadanya. 
 
Shahir berkata, beliau sendiri sudah menjelaskan perkara sebenar kepada wanita terbabit. 
 
"Tiada apa yang perlu saya risaukan kerana memang tak ada hubungan istimewa antara kami,” ujar Shahir sambil menafikan dirinya cuba melarikan diri daripada pihak media berhubung perkara itu sebelum ini, sebaliknya berada di kampung atas urusan keluarga.

1 ulasan:

reymond grey berkata...

Sharir nak tibai je bukan nak Era