Nik Abdul Aziz Nik Mat  
Nik Abdul Aziz Nik Mat


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan kenyataan keterlaluan Setiausaha Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), Mohd Radzi Othman yang menyamakan wanita bertudung yang menyertai demonstrasi GST 1 Mei lalu sebagai 'pelacur atasan'.

 “Yang tentunya pelacur duduk di hotel, kenapa golongan ini tidak dilawan. Muslimah zaman Nabi pun dibawa ke medan perang, kerjanya memegang air dan memberi minum kepada tentera Islam,” katanya dipetik dalam laman sosial, Harakahdaily.net, semalam.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu  turut meminta orang ramai tidak memandang serong terhadap demonstrasi yang dijalankan demi kepentingan masyarakat itu.

“Kita doakan agar dia (Mohd Radzi) diberi keselamatan oleh ALLAH,” katanya.

Mohd Radzi didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut di laman sosial Facebook miliknya yang memberi perumpamaan muslimah bertudung labuh yang menyertai demonstrasi itu setaraf dengan pelacur kelas atasan.

Kenyataan Mohd Radzi itu dikecam pelbagai pihak termasuk Muslimat Pas yang menggesa ulama muda itu menarik balik kenyataan tersebut dan jika enggan berbuat demikian, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

Selain itu, Pemuda Pas Pusat menggesa permohonan maaf secara terbuka oleh Mohd Radzi dan menarik balik kenyataan itu sekali gus membubarkan jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Muslimat Pas Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap akaun Facebook tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, semalam.

Nuridah Salleh mendakwa kenyataan itu dibuat menerusi akaun Facebook bernama ‘Abu Amru Radzi Othman’ pada 2 Mei lalu.

“Saya dengan ini membantah kenyataan tersebut kerana menganggap ia satu kenyataan yang biadap dan juga menjatuhkan maruah saya serta peserta-peserta bertudung labuh lain,” katanya.

Nuridah juga menuntut polis memanggil Radzi untuk dirakam keterangannya selain menuntut Radzi menarik balik kenyataan beliau dan meminta maaf kepada wanita bertudung labuh.