MALAYSIAKINI
Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut apabila rumahnya
runtuh dihempap sebatang pokok besar yang tumbang akibat ribut di Taman
Perumahan Awam Kamunting dekat Taiping semalam.
S Lingiswaran disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 petang dipercayai akibat sesak nafas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting Mohd Taufiq Sattar berkata
insiden itu berlaku pada 3.34 petang dan mangsa ditemui di atas katil
dalam keadaan dihempap tingkap lima belas minit kemudian.
Beliau berkata mangsa berada di rumah berkenaan bersama-sama lima
anggota keluarga lain iaitu ibu, dua orang nenek, adik serta ibu saudara
manakala bapanya tiada di rumah.
"Ketika kejadian, mangsa yang berada dalam bilik tidak sempat
menyelamatkan diri manakala anggota keluarganya yang lain sempat keluar
dari rumah itu," katanya ketika dihubungi.
Mohd Taufiq berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat
Taiping bersama 13 anggota dikerah ke tempat kejadian dan pihaknya
menerima lima laporan pokok tumbang susulan hujan lebat serta ribut di
kawasan Kamunting.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan