Isnin, 26 Mei 2014

Hakim tolak bantahan peguam anak Taib Mahmud sekat pegawai bank beri keterangan

OLEH DIYANA IBRAHIM


Dalam kes anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir hari ini, keterangan saksi dipertikaikan dengan dakwaan pendedahan itu bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan yang mewajibkan pihak bank melindungi kerahsiaan pelanggannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2014. Dalam kes anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir hari ini, keterangan saksi dipertikaikan dengan dakwaan pendedahan itu bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan yang mewajibkan pihak bank melindungi kerahsiaan pelanggannya. – Gambar fail The Malaysian Insider



Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menolak bantahan peguam anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir untuk menghalang pegawai bank daripada memberi keterangan mengenai simpanan kewangan defendan yang dianggarkan bernilai hampir RM 9 juta.

Peguam defendan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Saadiah Din ‎mempertikaikan keterangan saksi dengan mendakwa pendedahan itu bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan yang mewajibkan pihak bank melindungi kerahsiaan pelanggannya.

Selain itu, Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab juga menolak ‎tuntutan Saadiah yang mendesak untuk memberi bukti kebenaran daripada pihak CIMB untuk saksi memberi keterangan.

Terdahulu dalam kes perbicaraan tuntutan cerai RM 400 juta, Magendran Pillai selaku saksi kepada Shanaz A Majid memberitahu bahawa simpanan Abu Bekir, anak kepada Tun Abdul Taib Mahmud dianggarkan hampir RM 9 juta melalui empat akaun berasingan daripada deposit tetap dan semasa setakat 30 September 2012.

Antara lain dalam bantahannya Zainul berkata tidak ada bukti yang menunjukkan saksi menerima resolusi syarikat bagi mendedahkan maklumat berkenaan.

‎Manakala Peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader memberitahu mahkamah bahawa Magendran adalah mewakili pihak bank dan disepina sebagai saksi.

Shahnaz, kakak kepada penyanyi popular Datuk Sheila Majid dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada Januari 1992 dan mempunyai seorang anak yang kini berusia 20 tahun, Raden Murya.

Mahmud Abu Bekir memfailkan perceraian mereka pada Mei 2011.

Semasa keterangan balas, Magendran yang merupakan pembantu naib presiden Unit Resolusi Pelanggan CIMB tidak bersetuju kehadirannya sebagai saksi bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan.

"Tidak bersetuju kerana akta itu juga mempunyai pengecualian kerahsiaan membenarkan saya memberi maklumat butiran akaun defendan di mahkmah," kata Magendran.

Akbardin berkata tidak ada keperluan bagi pihak bank membuat resolusi apabila ia sudah sememangnya sebahagian daripada skop kerja dan t‎anggungjawab sebagai saksi.

Hakim kemudiannya memutuskan mahkamah berpuas hati dengan jawapan diberikan Akbardin bahawa sudah menjadi sebahagian tanggungjawab Magendran mendedahkan maklumat.

"Tidak ada keperluan bagi resolusi syarikat sebelum pendedahan maklumat memandangkan bukti subjek berdasarkan pemeriksaan balas," kata hakim di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, akauntan yang dilantik Shahnaz, Andrew Heng bagi mengumpul maklumat mengenai ha‎rta kekayaan bekas suaminya mendedahkan anggaran aset kekayaan Abu Bekir bernilai antara RM976 bilion dan RM1.395 bilion.

Heng memberitahu mahkamah Abu Bekir mampu membayar tuntutan bekas isterinya berdasarkan jumlah aset dimiliki plaintif.

Peguam Abu Bekir dijangka memanggil tiga atau empat saksi dalam perbicaraan akan datang.

Manakala peguam Shahnaz pula akan memanggil saksi ketiganya, Pengurus Jabatan Perkhidmatan Pelanggan ‎ Mursinah Manaf untuk memberi keterangan.

Mahkamah memutuskan perbicaraan ditangguhkan sehingga 3 Jun ini.

Tiada ulasan: