Khamis, 22 Mei 2014

Guna sekolah untuk kempen pilihan raya, BN berat sebelah

Oleh Amirul Azhan


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) ternyata berat sebelah apabila menggunakan sekolah sebagai pusat kempen parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta penjelasan Kementerian Pendidikan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan penyalahgunaan sekolah oleh BN.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan dengan tegas mengeluarkan arahan agar sekolah tidak dibenarkan sama sekali untuk dijadikan medan berpolitik.

Shamsul Iskandar 01“Menteri Pendidikan jawab, mengapa BN boleh mengadakan ceramah dan kempen PRK di sekolah?

“Sedangkan kerajaan sendiri berpendirian bahawa tidak boleh mempolitikkan premis awam dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana bercanggah serta melampau,” tegas Shamsul.

Semalam, Pemuda PAS membuat laporan polis berhubung tindakan BN yang menyalahgunakan premis awam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak bagi tujuan berkempen dalam PRK Teluk Intan.

Perkara ini menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24 b (7) yang melarang penggunaan premis awam untuk kempen pilihan raya.

Dalam ceramah kempen BN malam tadi, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata, tiada salahnya sekolah digunakan sebagai lokasi berkempen bagi jentera pilihan raya BN kerana ia juga merupakan aset kerajaan.

“Ini kenyataan dangkal kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti, di mana kerajaan sendiri didokong oleh rakyat dan bukannya parti,” kata Shamsul.

Dalam pada itu, Shamsul turut memaklumkan baru-baru ini beliau sendiri dihalang untuk masuk ke kawasan sebuah sekolah di Melaka untuk meraikan sambutan Hari Guru.

“BN guna sekolah tak apa, tapi Pakatan tak boleh. Ini tindakan ‘double standard’ dan kena hentikan,” katanya.

Sementara itu, Senator KEADILAN, Dr Syed Husin Ali turut sama menempelak penyalahgunaan kuasa oleh Umno ini.

“Sekolah bukan aset Umno tapi aset kerajaan, bererti aset rakyat juga. Jadi bukan Umno saja boleh guna sekolah untuk kempen. Patut Pakatan pun boleh,” katanya di twitter.

Pengarah Pilihanraya DAP PRK Teluk Intan, Tony Pua pula meminta agar DAP juga dibenarkan menggunakan kemudahan sedemikian jika tiada peraturan yang menghalang.

“Kami juga tidak mempunyai tempat untuk berceramah di Kampung Selabak. Kalau mereka boleh gunakan sekolah, kami juga sepatutnya diberikan tempat sama.

“Keadilan dan kesaksamaan harus diberikan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya dipetik.

Tiada ulasan: