Oleh Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR : Arahan baru supaya notis pertanyaan Ahli Parlimen (MP) dihantar kepada Menteri kira-kira sebulan sebelum sesi Parlimen berlangsung tidak masuk akal.
Mengikut Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, Parlimen mengarahkan semua anggota menghantar notis pertanyaan tidak lewat daripada tarikh 19 Mei ini, sedangkan sidang hanya akan berlangsung mulai 9 Jun.
“Arahan tersebut menyebabkan MP tepaksa menunggu hampir sebulan sebelum dapat bertanyakan soalan yang dikemukakan.
“Tempoh pemberian notis yang terlalu lama itu hanya membuatkan soalan yang mahu ditanyakan basi dan sia-sia.
“Malah lebih dibimbangi, MP berkemungkinan tidak dapat bertanyakan soalan berhubung kepentingan awam kerana terikat dengan arahan berhubung penyerahan notis soalan tersebut,” kata Surendran dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden KEADILAN itu turut menyelar kerajaan kerana tidak mahu bekerjasama terhadap tuntutan MP Pakatan Rakyat yang berulang kali menuntut supaya tempoh penyerahan notis soalan dipendekkan.
Menurutnya, House of Commons di England hanya menetapkan tiga hari bagi urusan penyerahan notis, malah beberapa negara Komanwel seperti Australia dan Kanada membenarkan MP bertanyakan soalan tanpa sebarang notis.
Katanya, tindakan itu merupakan sandiwara dan penghinaan terhadap sistem Parlimen yang berfungsi untuk menyemak setiap tindak tanduk kerajaan.
“Tindakan kerajaan ini jelas bertujuan untuk menghalang MP Pakatan menyemak dan meneliti tindakan yang dibuat kerajaan,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Surendran menegaskan beliau tidak akan mengemukakan soalan-soalan kepada menteri kecuali pembaharuan terhadap perkara itu dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, beliau sedaya upaya akan membawa perkara berhubung kepentingan awam pada sesi Parlimen akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan