Ramkarpal


GEORGETOWN - Calon DAP bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Deo menggesa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan tindakan yang akan diambil terhadap ahli pergerakan itu yang merempuh ke dalam bangunan Dun Pulau Pinang, Rabu lepas.

"Tindakan perlu diambil. Permohonan maaf daripada (Ketua Pembangkang di Dun Pulau Pinang) Jahara (Hamid) sahaja tidak mencukupi kerana saya tidak fikir beliau mempunyai pengaruh terhadap mereka.

"Oleh itu, saya menyeru Khairy Jamaluddin menyatakan apakah tindakan yang sedang diambil terhadap orang berkenaan memandangkan identiti mereka sudah dikenal pasti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, DAP mengutuk cubaan mana-mana pihak untuk bertindak seperti kumpulan manusia ganas.

Kira-kira 100 lelaki yang mendakwa mereka daripada Umno dan pertubuhan bukan kerajaan merempuh pintu utama bangunan itu dan memasuki biliknya, dikatakan untuk mencari Adun Seri Delima RSN Rayer, yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Umno pada Selasa.

Rayer dikatakan mengeluarkan kata-kata itu ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno negeri cuba menimbulkan ketakutan rakyat melalui demonstrasi yang membangkitkan sentimen pergaduhan kaum 13 Mei 1969. - Bernama