Sabtu, 12 Oktober 2013

Zello Suara Rakyat, saluran komunikasi interaktif

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Setelah beroperasi hampir dua tahun, Suara Rakyat.fm, radio internet yang membawa suara alternatif rakyat berhasrat melebarkan capaian aplikasi 'walkie talkie' internetnya, Zello Suara Rakyat.

Menurut Ketua Penyelaras Suara Rakyat.fm, Ripin Samat, jaluran Zello Suara Rakyat yang ditubuhkan pada 7 Oktober tahun lalu berhasrat menjadi gelanggang kepada rakyat untuk berhujah dalam hal politik, agama dan isu semasa secara berhemah, berhikmah, berilmu dan berfakta tanpa mengira fahaman politik.

"Jaluran ini adalah satu peralatan seakan-akan walkie talkie yang berkonsepkan 'perbualan langsung ' melalui internet. Jaluran Zello Suara Rakyat ini muncul dalam musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu dalam menyampaikan maklumat-maklumat  berkaitan perkembangan politik semasa tanah air.

"Jaluran ini juga diharap menjadi pemangkin kepada berita-berita yang benar dan telus dari sumber-sumber yang sah dan berwibawa," kata Ripin.

Menurut Ripin, jaluran Zello menggunakan aplikasi Android dan boleh diikuti melalui komputer di seluruh dunia.

Ia boleh dimuat turun di www.zello.com dengan membuat carian “Suara Rakyat” dan tagline “Suara Rakyat Suara Keramat”.

Ripin berkata, berita yang disampaikan jaluran Zello Suara Rakyat berkisar tentang isu politik, agama dan  isu semasa .

Tambahnya, jumlah pengguna aplikasi ini telah mencecah hampir 13,000 dan jaluran Zello Suara Rakyat mengalami limpahan pengguna pada malam kiraan undi keputusan PRU13 sehingga mencapai had maksimum 300 pengguna pada satu-satu masa.

"Ini bermakna jaluran Zello Suara Rakyat telah menjadi pilihan utama dalam menyampaikan dan menerima maklumat yang benar oleh rakyat.  Jaluran Zello Suara Rakyat bukan saja menjadi medium untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan malah menjadi wadah untuk menguatkan ukhwah sesama user," katanya.

Beliau menambah, pengguna Zello Suara Rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur termasuk para pemimpin utama Pakatan Rakyat yang telah bersuara secara langsung.

" Juga tidak ketinggalan segelintir pemimpin BN pernah bersuara di dalam jaluran ini untuk menyampaikan agenda parti," katanya.

Jaluran Zello Suara Rakyat juga, jelas Ripin sering membuat lintas langsung di majlis-majlis utama pakatan Rakyat dan melapor pelbagai peristiwa yang menggemparkan negara seperti perhimpunan Bersih 3.0.

Menurut Ripin (gambar), pengguna jaluran Zello Suara Rakyat boleh berinteraksi dan berkongsi maklumat melalui laman facebook di alamat  www.facebook.com/radiosuararakyatFM?ref=hl

"Siaran di jaluran Zello Suara Rakyat ini berkumandang setiap hari selama 24 jam tanpa henti selagi ada pengguna  yang setia berinteraksi sesama sendiri.

"Perbincangan semakin memuncak bermula jam 9 malam hingga ke jam 1 pagi setiap hari. Para pembaca dialu-alukan untuk memberikan maklumat dan pandangan bagi dikongsi bersama di dalam jaluran Zello Suara Rakyat," pelawa Ripin.

Tiada ulasan: