Rabu, 2 Oktober 2013

Walaupun Obama tidak datang, demo bantah Amerika diteruskan

THE MALAYSIAN INSIDER


Walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS),  Barack Obama membatalkan kunjungan ke Kuala Lumpur, demonstrasi membantah Amerika di KLCC 11 Oktober akan berlangsung seperti dirancang.

Penganjurnya, Badrul Hisham Shahrin yang mahu dikenali sebagai Che'GuBard berkata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tetap menggesa agar wakil Obama iaitu Setiausaha negara John Kerry perlu 'disambut' oleh rakyat Malaysia dengan simbol-simbol penolakan.

Ini kerana segala gerakan mobilisasi yang telah disusun berjalan seperti biasa termasuklah Jelajah #BantahObama #TolakTPPA.

 "Tidak kira siapa pun wakil AS yang datang ke Malaysia, negara yang berpaksikan fahaman zionisma dengan sikap imperialis, kapitalis yang menindas ini adalah pembuli masyarakat dunia khususnya dalam mewujudkan kecelaruan Islamiphobia, juga merupakan perancang utama Perjanjian TPPA yang penuh agenda tersembunyi.

"Ketidakhadiran Obama bukan bermakna Malaysia terkeluar daripada rundingan menyertai Perjanjian TPPA. Maka rakyat harus bersatu menunjukkan kekuatan bagi menghalang perjanjian 'rahsia' ini dimetrai," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan, Barack Obama membatalkan lawatannya ke Malaysia akibat krisis domestik di negara itu.

Najib berkata, pertembungan di antara parti Republican dan Demokrat di AS menyebabkan negara itu tidak berfungsi sepenuhnya dan ini bermakna Obama perlu menyelesaikan krisis itu.

“Obama menyatakan rasa kesalnya kerana tidak dapat melawat Malaysia seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS John Kerry akan hadir sebagai wakil Obama,” katanya.

Menurut Che'GuBard, impian menjadikan ekonomi Malaysia lebih baik dengan mengikat janji bersama AS umpama meletakkan lembu sihat ke dalam kandang harimau yang luka.

Negara itu bagi beliau sedang mengalami kejatuhan ekonomi teruk, Obama dan pentadbirannya sedang bergelut untuk menaikkan kadar hutang negaranya.

"Maka apakah wajar kita membenarkan negara ini diheret bergelumang dengan masalah ekonomi Amerika?" soal Che'GuBard.

SAMM bersama sekutu BantahTPPA juga akan menganjurkan pentas perdana sebagai kemuncak jelajah yang kini sedang berlangsung pada 10 Oktober iaitu sehari sebelum Demonstrasi di KLCC.

Pentas tersebut menjemput ramai tokoh negarawan termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir untuk berada sepentas bagi menjelaskan betapa TPPA ini harus ditolak rakyat. Surat jemputan telah disahkan terima oleh kedua pihak.

Esok, satu perjumpaan penting melibatkan banyak pihak yang terdiri daripada pelbagai NGO dan parti politik sebagai persediaan akhir menggandakan mobilisasi demonstrasi 11 Oktober.

Nantikan pengumuman penting dalam satu sidang media yang akan diadakan pada hari Jumaat ini, tambahnya.

Tiada ulasan: