Isnin, 7 Oktober 2013

Utusan mahu Chin Tong ganti Guan Eng pimpin DAP

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


























Lim Guan Eng (gambar) seharusnya melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP memandangkan pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP tempoh hari gagal mendapat "undi popular" daripada perwakilan, kata Awang Selamat.

Dalam ruangan Bisik-Bisik laman akhbar Umno itu berkata, bagi menghormati semangat undi popular yang digunakan Guan Eng mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya 2013 lalu, beliau perlu memberikan jawatan berkenaan kepada ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang memperoleh majoriti undi tertinggi.

Ketika pemilihan CEC itu berlangsung, Guan Eng hanya menduduki tempat kelima dengan‎ 1,034 undi daripada 1,1725 perwakilan sedangkan Chin Tong menduduki tempat pertama dengan 1,143 undi.

 "Dengan kelebihan atas kedudukannya sebagai Setiausaha Agung apatah lagi Ketua Menteri Pulau Pinang dan anak kepada Lim Kit Siang, kejatuhan tangga kedudukan itu adalah isyarat daripada perwakilan yang tidak mahu menobatkan Guan Eng pada kedudukan teratas, kata Awang dipetik Mingguan Malaysia.

"Cakap tidak serupa bikin. Guan Eng antara pemimpin pembangkang yang ghairah mendakwa BN tidak layak membentuk kerajaan Pusat kerana gagal mendapat undi popular pada PRU13.

"Bagaimanapun apabila terkena batang hidung sendiri, prinsipnya itu disongsangkan," kata akhbar berkenaan.

Akhbar berkenaan turut berkata, tafsiran demokrasi yang diamalkan DAP bukan mengikut akar umbi, namun ikut pihak yang berpengaruh dan digeruni.

"Kalau berdasarkan persepsi ramai termasuklah ahli, siapa lagi kalau bukan Dinasti Lim. Tahniah," kata akhbar berkenaan sinis.

Mengikut perlembagaan parti berkenaan, Guan Eng kini pada penggal terakhirnya sebagai Setiausaha Agung.

Tiada ulasan: