Kementerian Kesihatan hari ini menafikan ada mengeluarkan amaran kepada orang ramai di kawasan utara Semenanjung Malaysia supaya mengelakkan pengambilan ayam dari Thailand kerana disyaki dicemari virus.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata maklumat yang dikata dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Parit Buntar ini juga dikaitkan dengan beberapa siri kejadian keracunan makanan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang.
  
"Kementerian ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak pernah mengeluarkan amaran berhubung perkara tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh keracunan makanan semasa majlis kenduri kahwin di Sungai Petani, Kedah, beliau berkata pihak berkuasa mendapati hidangan ayam masak merah dicemari kuman Salmonella.
 
"Bagi keracunan makanan di Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak dan Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang perkara tersebut masih dalam siasatan," ujar beliau.
- Bernama