Jumaat, 11 Oktober 2013

Tembak dulu: Jangan sampai matlamat halalkan cara

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: PAS menegaskan setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak keselamatan perlu merujuk kepada standard prosedur operasi (SOP) untuk menembak penjenayah walau macam mana sekalipun ancaman yang dihadapi.

Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, apa jua isu yang ditimbulkan ianya tidak boleh membelakangkan perlembagaan, undang-undang dan peraturan yang telah termaktub.

"Saya rasa apa yang harus dibetulkan adalah kaedah pendekatan yang dimbil oleh pihak keselamatan.

"Saya rasa apa yang digambarkan oleh Zahid mungkin beliau merasakan berat tanggungjawab yang dirasakan oleh pegawai keselamatan," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun tegas Salahuddin dalam perkara ini pihak keselamatan tidak boleh berpandukan pada kaedah matlamat menghalalkan cara.

Beliau yakin dan percaya, jika pihak keselamatan berpegang teguh pada SOP mereka dapat mengawal keadaan dan banteras jenayah berpandukan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi satu ucapannya di Melaka baru-baru ini memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Kenyataan Zahid itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak malah terdapat dua laporan polis yang telah dibuat terhadap beliau.

Bagaimanapun, semalam ketika dalam wawancara di sebuah stesen televisyen berbayar Zahid mendakwa kenyataan 'tembak dulu' merujuk kepada kes lima suspek ditembak mati oleh polis di Pulau Pinang pada 19 Ogos baru-baru ini.

"Saya merujuk kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang di mana lima
(suspek) penjenayah telah dibunuh oleh pihak polis, kerana menurut maklumat risikan, mereka itu ada senjata.

"Dan saya menyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh seorang timbalan menteri adalah tembakan amaran dahulu baru tembakan yang sebenarnya.

"Saya fikir itu bukan SOP yang ada pada pihak polis sebab semua (suspek) penjenayah ada senjata.

"Adakah pihak polis hanya boleh mempertahankan diri apabila telah ditembak? Kalau begitu keadaannya, tentu ramai polis yang mati disebabkan oleh tindakan yang demikian," jelas Zahid.

Tiada ulasan: