Jumaat, 25 Oktober 2013

Skim Kafalah 'dikafankan' kerajaan BN

Salmiyah Harun,


JERAI: Skim Kafalah yang dilaksanakan  Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah penggal lalu kini sudah menjadi 'kafanlah' apabila  tidak lagi diteruskan  kerajaan BN negeri.

Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Sungai Limau Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mampu membelanjakan RM4.9 juta untuk hampir 10,000 penerima skim itu.

"Dulu Kafalah, kini jadi 'kafanlah' bungkus kain putih kemudian kebumikan. Skim itu, kita bagi semua rakyat negeri ini tidak kira agama," katanya dalam sidang media di Markas Induk PAS PRK Sungai Limau di Batu 15.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa kerajaan BN hari ini tidak mampu meneruskan skim itu sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat pada penggal lalu berjaya mengagihkan skim bantuan itu kepada mereka yang memerlukan.

Kafalah adalah skim bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk keluarga si mati yang miskin, ia merupakan usaha kerajaan PAS Kedah yang telah dilaksanakan ketika PAS di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan  Razak pada penggal lalu.

Sehubungan itu, PAS Kedah gembira apabila gesaan mereka untuk menganjurkan politik damai dan harmoni disambut baik oleh BN namun, ianya tidak bermaksud pertentangan dasar dan isu pihak lawan diketepikan.

"Memandangkan media arus perdana tidak memberikan liputan yang adil maka usaha mendedahkan penyelewengan dan kelemahan pentadbiran BN, negeri mahupun pusat akan tetap diteruskan," tegas Amiruddin.

Turut sama dalam sidang media itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad, Penyelaras DHPP PRK Sg Limau Sobri Osman dan Pengarah Unit Media Zulkifli Yahya. 

Tiada ulasan: