KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Satu himpunan bagi mempertahankan hak bersuara dan kebebasan maklumat kepada mahasiswa Malaysia di luar negara akan diadakan di Elder Hall, Adelaide University, Australia.
Menurut laman Facebook Adun Semambu, Pahang, Lee Chean Chung, himpunan akan diadakan pada hari Sabtu , 19 Oktober ini bernula jam 10 pagi, waktu Australia.
Peserta himpunan turut digalakkan memakai pakaian hitam sebagai simbol bantahan.
“Sejurus selepas insiden pemegang biasiswa JPA diberi amaran supaya jangan hadir program Anwar Ibrahim di Australia, sekumpulan mahasiswa kita akan membuat bantahan di Universiti Adelaide.
“Saya memberikan sokongan penuh kepada mereka yang berani dan matang,” tulis Lee di laman Facebook beliau.
Himpunan dibuat sebagai bantahan terhadap amaran Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dipercayai kepada semua penerima biasiswa JPA daripada menghadiri i sesi awam bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laman Keadilandaily sebelum ini mendedahkan e-mel dihantar pegawai penasihat pelajar JPA, Sharezan Md Sheriff yang akan mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat.
Kandungan e-mel menyatakan, tindakan menghadiri program tersebut menyulitkan mahasiswa mengekalkan gred, manakala biasiswa boleh ditarik semula.
Dalam pada itu, Anwar akan menyampaikan pidato pada sesi awam di Festival of Ideas ‘Dissent and Democracy’ di Adelaide University.
Beliau turut diundang Masyarakat Islam Selatan Australia (ISSA) untuk berkhutbah di Masjid Abu Bakr Assiddiq, Adelaide, Australia hari ini.
Manakala satu program sembang santai, #MeetAnwar akan diadakan Watson Avenue, Rose Park, South Australia pada hari Sabtu atas anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) dengan kerjasama Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Adelaide
Tiada ulasan:
Catat Ulasan