Jumaat, 4 Oktober 2013

Sg Limau: SPR tidak telus, nafi hak pengundi

Saidah Hairan,


KUALA LUMPUR: Penetapan tarikh pembuangan undi pada hari bekerja membuktikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak demokratik dan menafikan hak pengundi khususnya mereka yang bekerja di luar kawasan atau negeri.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusar, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan, dalam menentukan tarikh pembuangan undi seharusnya SPR mengambil kira pengundi yang bekerja luar dari negeri Kedah.

Menurut beliau, cara yang dilakukan SPR sangat tidak telus walaupun pilihan raya kecil (PRK) belum dilaksanakan tetapi pembuangan undi pada hari bekerja telah dilakukan pada PRK Kuala Besut.

"Tindakan SPR itu seolah-olah menafikan hak pengundi yang bekerja untuk balik mengundi," katanya.

Bagi persediaan jentera Muslimat katanya,  muslimat seluruh negara bersedia untuk turun membantu mempertahankan kemenangan di Dun Sungai Limau dengan majoriti yang lebih banyak.

Menurut beliau, selepas jentera Muslimat dilancarkan pada 11 Oktober nanti jentera muslimat akan hadir membantu mengikut jadual yang telah ditetapkan kepada Dun dan negeri.

"Kita akan jalankan program selepas pelancaran. Jika PRK di Kuala Besut pada bulan ramadan, jentera Muslimat bergerak dengan baik, Insya Allah di Dun Sungai Limau mereka akan bekerja dengan lebih baik," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang yakin PAS akan mempertahankan kemenangan Dun Sungai Limau memandangkan Dun tersebut merupakan kubu PAS.

Katanya, lebih 90 peratus penduduk terdiri daripada orang Melayu dan daripada jumlah itu 43.9 peratus daripada golongan anak muda.

Sudah pasti tambah beliau faktor pengundi muda merupakan penentu kemenangn dan perkembangan terbaru usaha untuk memberi kesedaran kepada pengundi muda sangat penting selain calon PRK daripada orang muda.

Beliau menegaskan, rakyat Dun Sungai Limau seharusnya boleh menilai tindakan BN terhadap Kolej Universiti Insan (Kuin) disewakan kepada swasta dan tidak dimanfaatkan pada matlamat asal.

"Ini merugikan masa depan anak-anak Kedah dan masa depan pendidikan Islam. Begitu juga kerajaan negeri menjadikan pulau Tauba sebagai tempat pelancongan dan diserahkan kepada syarikat dari Australia," katanya.

Sedangkan tambah beliau, pulau Tauba ketika kerajaan PAS tempat itu mahu dijadikan tempat menghafal al-Quran dan pengajian agama. Beliau menegaskan, kerajaan BN seolah-olah tidak mengambil berat tentang pendidikan tetapi lebih mementingkan soal pelaburan semata-mata.

Semalam, SSPR menetapkan 4 November adalah hari pembuangan undi PRK Dun Sungai Limau, Kedah sementara penamaan calon pada 23 Oktober.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 26 September lalu.

Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).

Tiada ulasan: