PUNCAK ALAM – Hanya bermodalkan tongkat dan anak kecil, seorang wanita dan remaja perempuan tidak segan silu duduk bersila di tepi jalan untuk menagih simpati pengunjung pasar malam Puncak Alam di Shah Alam 2, di sini.
Tinjauan Sinar Harian turut mendapati, bukan dua tetapi tiga lelaki dalam lingkungan usia warga emas kategori orang kurang upaya (OKU) turut duduk di atas kerusi plastik bersama beg bertroli sambil menadah tisu untuk dijual.
Jika dahulu, hanya pengemis tua sahaja 'bekerja' di pasar malam itu tetapi kini wanita memegang anak kecil yang sedang menyusu dan remaja perempuan duduk berteleku bersama tongkat turut menagih wang.
Sinar Harian cuba menemu ramah seorang remaja perempuan yang bersimpuh menagih simpati dan difahamkan dia dihantar mencari wang di kawasan pasar malam itu dan apabila cukup masa, dia akan dibawa pulang.
Ketika mahu menyelidik lebih lanjut, remaja perempuan itu kelihatan gelisah dan hanya menggelengkan kepala setiap kali diajukan soalan.
Pengunjung, Jamilah Ismail, 51, berkata, dia tidak keberatan menderma kerana kasihan melihat gelagat wanita yang memegang anak kecil sambil menadah mangkuk plastik.
Menurutnya, dia menghalalkan duit yang didermakan kerana simpati dengan keadaan wanita itu yang terpaksa mencari makan dengan jalan sebegitu berkemungkinan kerana tiada pilihan lain.
"Mungkin kerana saya seorang ibu tunggal, jadi saya mudah rasa simpati dengan nasib mereka.
"Kalau boleh golongan seperti ini dapat dibantu supaya hidup mereka dipermudahkan dan tidak perlu lagi mengemis untuk menyara hidup," katanya.
Sementara Kamaliah Wahab, 48, berkata, tidak mustahil golongan itu dipergunakan sindiket demi kepentingan peribadi melalui mengemis, wang mudah untuk diperoleh.
"Lokasi pasar malam menjadi lubuk rezeki mereka kerana menjadi tumpuan orang ramai setiap Rabu dan Sabtu.
"Lebih teruk lagi, mereka menggunakan kanak-kanak untuk kerja sebegini," katanya.
Manakala peniaga, Faizal Mohd Nasir, 23, berkata, dia menyedari lambakan pengemis baru itu sejak dua minggu lepas dan keadaan itu cukup 'memeriahkan' suasana pasar malam yang sentiasa menjadi tumpuan.
Menurutnya, apabila isu pengemis ini didedahkan media, selang seminggu selepas itu pasti tidak terlihat kelibat mereka berkemungkinan bimbang ditangkap atau 'bercuti' sementara menunggu keadaan reda.
"Saya tak tolak kemungkinan isu ini masih berlarutan kerana sikap pemurah masyarakat setempat yang sering bagi duit kepada mereka dengan niat membantu," katanya.
Penduduk, Suhailan Kamarudin, 29, berkata, tidak salah jika ada individu tampil memohon dana untuk pembinaan surau mahupun sekolah agama kerana kawasan pasar malam sentiasa jadi tumpuan orang ramai.
"Bersedekah itu tak salah kerana bergantung pada niat kita untuk membantu tetapi perlulah berpada-pada kerana kita takut wang yang diberikan digunakan untuk perkara tak baik.
"Bukan sahaja di pasar malam, bahkan remaja dan kanak-kanak turut dipergunakan untuk datang ke setiap rumah menjual cakera padat agama dengan harga murah demi mendapatkan dana untuk sekolah mereka," katanya.
Katanya, dia bantah sepenuhnya penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti sebegini kerana ia salah.
"Saya juga sedih lihat warga emas turut dipergunakan memandangkan banyak bantuan untuk golongan tua," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan