Isnin, 7 Oktober 2013
Remaja akan didakwa esok kerana membunuh pelatih PLKN
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Penolong Pesuruhjaya Kanan Mohd Zakaria Ahmad mengesahkannya dan berkata, tertuduh berumur 17 tahun yang menjadi pelatih di PLKN Muadzam Shah.
Dia akan didakwa di bawah Seksyen 323 Penal Kod kerana menyebabkan kecederaan.
"Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah pagi esok," katanya kepada The Malaysian Insider.
Satu sumber memberitahu, walaupun di bawah umur, iaitu 17 tahun, dia akan didakwa di mahkamah sebagai orang dewasa kerana keseriusan kes ini, bukannya di Mahkamah Juvenil sebagaimana biasa.
Muhammad Suhaimi telah diserang beramai-ramai selepas didakwa memotong barisan ketika mengambil sarapan pagi.
Dia dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas lantai di dalam bilik air jam 12.04 pagi dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan menuju Hospital Muadzam Shah.
Suhaimi didapati lebam pada belakang telinganya yang dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Laporan postmortem awal menunjukkan Suhaimi mati akibat dari pendarahan pada otaknya.
Ekoran itu, polis telah menahan enam orang yang berumur antara 17 hingga 21 tahun berkaitan dengan kes ini.
Tiga ditahan pada hari yang sama, manakala selebihnya ditahan dua hari kemudian.
Siasatan awal mendapati, mangsa menimbulkan kemarahan pelatih yang lain apabila dia memotong barisan semasa mengambil sarapan pagi.
Ia menyebabkan pergaduhan berlaku antara mangsa dengan pelatih yang ditahan itu beberapa jam kemudian.
Pergaduhan berlaku lagi kira-kira jam 11.30 malam dan 30 minit kemudian mangsa telah didapati terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai di dalam bilik mandi.
Sejak beroperasi, sudah 22 kematian direkodkan di dalam kem-kem PLKN akibat dari demam, infeksi kuman dan lain-lain sebab.
Ini adalah kes pertama pembunuhan direkodkan dalam kem PLKN. Pada tahun 2004, pelatih berumur 17 tahun dirogol oleh jurulatihnya yang kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.
PLKN diwujudkan oleh Putrajaya untuk merapatkan hubungan antara remaja dari pelbagai latar belakang kaum dan agama. Ia juga dibuat bagi menyelesaikan masalah pengasingan antara kumpulan di negara ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan