THE MALAYSIAN INSIDER
Mahkamah
Rayuan menetapkan 11 dan 12 Disember untuk mendengar rayuan pihak
pendakwa terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
(gambar) daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu
di dalam kamar selepas kes itu dikemukakan di hadapannya untuk
pengurusan kes.
Mewakili pihak pendakwa ialah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Anwar diwakili Karpal Singh.
Muhammad Shafee adalah peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara secara
‘fiat’ untuk mengetuai pihak pendakwa dalam rayuan untuk mengetepikan
keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lalu yang
melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful
Bukhari, 26.
Karpal Singh berkata sementara itu, Mahkamah Rayuan perlu menyediakan
alasan penghakiman berhubung keputusannya (Mahkamah Rayuan) menolak
permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee daripada
bertindak sebagai peguam utama.
Beliau berkata ini untuk membolehkan rayuan Anwar (terhadap keputusan
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan
Muhammad Shafee sebagai pendakwaraya) didengar di Mahkamah Persekutuan
sebelum 11 Disember.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ramly Ali pada
17 September tahun ini menolak permohonan Anwar untuk melucutkan
kelayakan Muhammad Shafee atas alasan pelantikannya sebagai pendakwa
raya adalah sah dan mengikut ketetapan undang-undang.
Ketua Pembangkang itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 20 September tahun ini terhadap keputusan itu.
Anwar, 64, dituduh melakukan kesalahan itu di satu unit Kondominium
Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26
Jun, 2008.
Pada 9 Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin
Mohd Diah semasa membebaskan Anwar memutuskan berlaku penetrasi zakar
tetapi tidak disahkan oleh keterangan lain.
Beliau juga memutuskan mahkamah tidak pasti 100% berhubung integriti
sampel diambil daripada Mohd Saiful bagi ujian DNA kerana sampel itu
telah diusik sebelum sampai ke jabatan kimia untuk analisis. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan