Khamis, 31 Oktober 2013

Rakyat makin gusar 111,020 kes jenayah indeks

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dengan jumlah 111,020 kes jenayah indeks yang direkodkan sepanjang Januari hingga September 2013 ianya adalah angka yang menggerunkan sesiapa sahaja.

Daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bererti rakyat tempatan lebih agresif, ganas dan kejam berbanding warga asing.

“Warga tempatan perlu lebih berhati-hati, gusar dan gerun dengan ‘saudara’ mereka sendiri kerana penjenayah sebenar majoritinya adalah warga tempatan,” ujar Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan sebagai respos kepada kenyataan Zahid bahawa kadar jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing hanyalah 10 hingga 15 peratus bukanlah sesuatu yang boleh melegakan kebimbangan rakyat di negara ini.

Menurut kata menteri itu, peratusan besar jenayah dilakukan oleh penduduk tempatan.

Jika demikian, kata Suhaimi mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada penguatkuasaan dan undang-undang di negara ini.

Katanya, rakyat sudah tidak gentar dengan sebarang hukuman atau undang-undang yang ditetapkan dan mereka rela ditembak mati, diburu atau ditangkap kerana aksi jenayah mereka.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju semua pihak perlu berganding bahu memberikan pandangan, input dan buah fikiran agar jenayah dijadikan musuh nombor satu negara.

Menurutnya, daripada sistem pendidikan, penguatkuasaan, undang-undang, pencegahan, kempen kesedaran, kajian dan perbincangan, sesuatu perlu dilakukan segera dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Tambahnya, kesempitan hidup, penyakit jiwa, kemurungan, kurang pendidikan agama, konflik keluarga, pergaulan bebas dan lain-lain adalah sebahagian faktor jenayah semakin berleluasa.

Justeru, kata beliau mengenali punca tersebut perlu diselarikan dengan jalan penyelesaian yang jitu agar jenayah semakin berkurangan dan mampu dicegah dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

“Pastinya, ramai menginginkan agar Malaysia menjadi bebas jenayah. Selain sasaran menjadi negara maju, negara bebas atau kurang jenayah perlu dijadikan agenda utama,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, tidak ada gunanya negara melangkah ke era kemodenan dengan pelbagai rekod kemajuan dicatat namun menjadi penyumbang terbesar kepada jenayah.

Sebaliknya, kata Suhaimi rakyat dan negara lebih bahagia hidup dalam negara yang sejahtera dan sentosa dengan keamanan dan kestabilan tanpa jenayah.

“Alangkah indahnya hidup jika rakyat di negara ini semakin mengenali erti kemanusiaan serta menghormati nilai dan hak insan lain tanpa melakukan jenayah,” katanya.

Tiada ulasan: