Rabu, 2 Oktober 2013

“Polis buat pembunuhan” dan “gigit telinga polis” bergema di Dewan Rakyat

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

















Dakwaan polis diperalatkan untuk melakukan pembunuhan dan jawapan balas, bukan diperalat sehingga ‘digigit telinga' bergema di Dewan Rakyat hari ini.

Semua ini berlaku ketika para ahli Parlimen berbahas dalam sesi perbahasan pindaan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (PCA).

Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang (gambar) mendakwa anggota polis diperalatkan untuk melakukan pembunuhan.

 Beliau yang dikenali sebagai Tian Chua semasa sesi penggulungan Menteri Dalam Negeri berkenaan PCA berkata, pembangkang tidak menafikan undang-undang pencegahan sebaliknya menolak tahanan tanpa bicara.

"Tetapi polis digunakan untuk melakukan pembunuhan," katanya ketika di dalam Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Kenyataan itu kemudiannya dibidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan sinis berkata anggota polis bukan dizalimi dengan diperalatkan sebaliknya ‘digigit telinga’.

"Melampau tuduhan itu ... anggota polis dizalimi dengan digigit telinganya. Ikut cerita dongeng hanya toyol yang gigit telinga," kata Ahmad Zahid yang menerima tepukan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Ia dipercayai ditujukan kepada Tian Chua yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menggigit telinga polis sebelum ini.

Ahmad Zahid turut membidas kenyataan beberapa wakil rakyat pembangkang yang menegakkan hak asasi manusia apabila membela hak penjenayah untuk dibicarakan di mahkamah.

"Apa hak asasi mereka yang dizalimi? Dirogol? Kita kena seimbang, biarlah kita rasional.

"Mereka bukan manusia biasa. Mereka penjenayah berat," kata ahli Parlimen Bagan Datoh itu lagi.
Sesi perbahasan pindaan rang undang-undang Pencegahan Jenayah kini memasuki hari kedua selepas dibacakan kali pertama awal minggu lalu.

Pembangkang menolak pindaan berkenaan kerana membenarkan tahanan pesalah tanpa bicara dan melanggar hak asasi manusia. Kerajaan sebaliknya menegaskan undang-undang pencegahan diperlukan bagi memastikan penjenayah dapat ditangkap dan memastikan saksi dapat tampil ke mahkamah untuk memberi kenyataan berdasarkan sesuatu kes.

Tiada ulasan: