Rabu, 2 Oktober 2013

PCA: PAS mahu utamakan prinsip buktikan bersalah

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS mahu sebarang akta dan undang-undang yang mahu digubal perlu mematuhi perinsip keadilan sejagat agar ianya tidak cenderung untuk menzalimi mana-mana pihak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin berkata, antara lain penggubalan tersebut perlu mengambil semangat bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah yang juga perinsip utama dalam Islam.

"Ini yang perlu ditekankan. Kita tidak mahu sesuatu akta itu digubal yang boleh menahan tanpa bicara dan boleh menahan seseorang tanpa dibuktikan kesalahannya," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata demikian ketika diminta mengulas pindaan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Peluasan) 2013 yang dibentang kali kedua oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semalam.

Pindaan PCA ini antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk mengarahkan seseorang yang ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297) ditahan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.

Rang undang- undang itu turut memberi kuasa kepada lembaga berkenaan melanjutkan tempoh tahanan selama dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Peruntukan ini dilihat banyak pihak sebagai serupa dengan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan, iaitu masih membenarkan tahanan tanpa bicara.

Dalam pada itu, Hanipa turut mempersoal bagaimana cadangan pindaan akta ini disediakan oleh Jabatan Peguam Negara sedangkan Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri pernah menyatakan tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara.

"Saya risau ianya dibuat oleh peguam negara dalam keadaan protes kerana ditekan oleh pihak kerajaan.

"Jika ini berlaku, ini tentu sekali bahaya kepada negara," katanya.

Tiada ulasan: