Oleh N Surendran
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyuarakan pandangan mereka terhadap isu jemputan KPN kepada saya untuk sertai satu operasi "shoot-out" bersama PDRM. Ramai juga yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan saya jika saya menyertai operasi sebegitu.
Jemputan KPN yang dibuat kepada saya Jumaat lalu adalah disebabkan kritikan keras saya terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri yang telah menyebut tentang dasar "tembak dahulu" pihak PDRM, dan pembelaan kenyataan tersebut oleh pimpinan tertinggi polis.
Telah begitu lama pihak kerajaan dan juga pimpinan polis mengatakan mereka yang mengkritik tindak-tanduk PDRM tidak menghargai jasa dan pengorbanan serta cabaran yang dilalui anggota polis yang berhadapan dengan penjenayah bersenjata.
Umum tahu dan sedar bahawa respon ini tidak masuk akal.
Kami tidak pernah berkata pihak polis tidak berhadapan dengan ancaman atau bahaya dalam menjalankan tugas mereka; namun kami tidak akan meminta maaf kerana mengkritik tindakan mana-mana anggota polis sekali pun yang melanggar undang-undang terutamanya dalam cara mereka mengendali suspek polis.
Dalam memberi respon kepada kritikan saya, KPN telah mencabar saya untuk menyaksikan sendiri operasi polis. Ia respon tersentak atau "knee-jerk" kepada satu kritikan yang munasabah, tetapi saya telah menerima tawaran beliau dengan hati terbuka.
Namun jemputan KPN ini tidak menjawab kritikan saya terhadap dasar "tembak dahulu" Menteri Dalam Negeri dan peningkatan jumlah kes suspek yang mati ditembak dalam operasi polis. Umum masih menanti jawapan dan penjelasan yang munasabah tentang hal ini dari KPN dan pihak kerajaan.
Tidak mengira penyertaan saya dalam operasi ini atau apa pun yang akan berlaku nanti, Kementerian Dalam Negeri dan pimpinan PDRM mesti menghentikan kejadian tembakan suspek polis yang keterlaluan dan salah di sisi undang-undang.
Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan, dan hak untuk hidup seperti termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi.
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN, KEADILAN
AHLI PARLIMEN PADANG SERAI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan