Rabu, 16 Oktober 2013

MCTC gesa kerajaan tandatangani protokol

 
Kenaikan cukai dan harga hasil tembakau akan meningkatkan kegiatan penyeludupan untuk menjaga keuntungan industri.




PETALING JAYA: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) hari ini menggesa pihak kerajaan agar menandatangani ‘Protokol Untuk Menghapuskan Perdagangan Haram Hasil Tembakau’.

“Protokol ini memperincikan tindakan-tindakan negara pihak dan antara negara pihak untuk membanteras kegiatan perdagangan haram hasil tembakau.

“MCTC menyokong Malaysia mengesahkan Protokol ini dan memulakan tindakan agensi-agensi penguatkuasa melalui kerjasama negara-negara jiran,” kata Timbalan Presiden MCTC Dr Mymoon Alias.

MCTC merupakan sebuah pertubuhan payung untuk 40 pertubuhan menyokong dan memperjuangkan kawalan tembakau di Malaysia.

Tambah Dr Mymoon, di samping Rangka Kerja Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), Persidangan Negara Pihak (COP) telah menerima Protokol tersebut agar disahkan oleh negara pihak untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

“Kenyataan industri tembakau bahawa kenaikan cukai dan harga hasil tembakau akan meningkatkan kegiatan penyeludupan merupakan hujah untuk menjaga keuntungan industri,” kata Dr Mymoon.

Beliau juga menggesa supaya satu akta induk seperti Akta Kawalan Tembakau yang telah lama dicadangkan, dibentangkan di Parlimen Malaysia untuk diluluskan.



“Akta ini akan menutup pelbagai kelompongan yang wujud dalam menangani penjualan hasil tembakau yang diseludup dengan melesenkan semua perniagaan yang menjual hasil tembakau,” katanya.

Tambahnya lagi, perlesenan jualan hasil tembakau juga dapat membanteras amalan-amalan seperti penjualan hasil tembakau kepada kanak-kanak serta membanteras jualan hasil rokok di kawasan larangan menjual hasil tembakau.

Seterusnya, walaupun pihaknya mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan yang telah menaikkan cukai rokok, badan itu berpendapat bahawa kadar cukai yang dikenakan tidak mencapai matlamat FCTC berhubung langkah-langkah harga dan cukai terhadap kawalan tembakau dan hasil tembakau.

Dr Mymoon walau bagaimanapun berkata bahawa keputusan Kabinet mengenai pengeluaran (carve-out) tembakau sebagai produk yang boleh didagangkan secara bebas di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapat sokongan badan-badan sosial berkaitan advokasi kesihatan.

“Dengan ini, Malaysia menjadi contoh di kalangan rakan rundingan TPPA untuk memainkan peranan kepimpinan dasar kesihatan awam di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tiada ulasan: