KUALA LUMPUR - Sebanyak 136 projek atau 72.7 peratus daripada 187 projek perumahan terbengkalai di Semenanjung berjaya disiapkan setakat 31 Ogos lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sebanyak 44 projek atau 23.6 peratus lagi berada di pelbagai peringkat pemulihan.

"Sehingga kini, sebanyak tujuh projek atau 3.7 peratus masih di peringkat perancangan awal untuk dipulihkan," katanya menjawab soalan Senator Chew Lee Giok di persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, kementeriannya telah memuat naik senarai projek yang bermasalah di laman web kementerian iaitu www.kpkt.gov.my dan dikemas kini setiap bulan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, terdapat 110,170 hektar tanah pertanian terbiar di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Sarawak mempunyai keluasan tanah pertanian terbiar terbesar iaitu seluas 60,000 hektar, diikuti Pahang (9,601 hektar) dan Kelantan (8,105 hektar), katanya.

"Tanah-tanah ini merangkumi tanah yang dimiliki individu dan kerajaan," katanya menjawab soalan Senator, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Tajuddin berkata, kementerian itu sedang mengenal pasti pemilik tanah terbiar tersebut, selain mengkaji tanah-tanah yang berpotensi untuk dibangunkan secara komersial. - Bernama