Khamis, 3 Oktober 2013

Laporan Audit : Menteri jangan salahkan pegawai rendah


audit


KUALA LUMPUR : Menteri Kabinet digesa berhenti menyalahkan pegawai rendah dengan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala penyelewengan dan pemborosan perbelanjaan yang berlaku di jabatan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2012 terdapat banyak kebocoran perbelanjaan di jabatan persekutuan yang memerlukan siasatan agar tidak berulang.

“Menteri harus bertanggungjawab dan tidak menyalahkan pegawai rendah kerana ia berlaku di depan mata mereka tanpa pengawasan.

“Kita tidak mahu dengar menteri kata ia dalam siasatan atau pertimbangan kerana setiap tahun perkara ini berlaku, malah lebih parah lagi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya mengadakan satu sidang khas untuk meneliti perkara ini selain meminta ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang terlibat dalam jawatankuasa itu untuk terus mendesak isu berkenaan dipantau.

“Setiap kali laporan audit diterbitkan, kita seolah-olah terkejut sedangkan kebocoran dan penyelewengan berlaku setiap tahun.

“Kebocoran berlaku dalam keadaan harga barang naik, rakyat ditekan tetapi penyelewengan yang berlaku ini dibiarkan,” katanya.-MEM

Tiada ulasan: