Jumaat, 4 Oktober 2013

Laman berita catat peningkatan pembaca, The Malaysian Insider antara 5 terbaik

OLEH MD IZWAN

Kedudukan 10 laman web berita dan maklumat properti tempatan yang terbaik di Malaysia. 

Kedudukan 10 laman web berita dan maklumat properti tempatan yang terbaik di Malaysia.Rakyat Malaysia semakin aktif untuk mendapatkan maklumat dan berita semasa, lapor Malaysian Digital Association (MDA) yang dikeluarkan hari ini dengan laman The Malaysian Insider memasuki carta lima terbaik untuk kategori laman berita.

Laman The Malaysian Insider yang baru berusia lima tahun mencatat 504 ribu pelawat unik pada bulan Ogos 2013 dengan laman The Star Online menduduki tempat pertama.

Bagi kategori berita, laman portal The Star Online mendapat pelawat unik sebanyak 1,074,000, diikuti Malaysiakini 885,000  dan tempat ketiga Hmetro.com.my 606,000.

 "The Star Online, Malaysiakini dan Hmetro mengekalkan kedudukan mereka sebagai laman paling atas dalam kategori berita," kata MDA lagi.

Dalam laporan MDA hari ini, hampir setengah daripada 30 laman portal teratas berada dalam kategori berita, kewangan dan hiburan.

"Kategori ini adalah penanda aras kepada populariti bagi rakyat Malaysia.

"Sehinggalah Ogos 2012, jumlah keseluruhan pelawat dalam kategori berita juga meningkat secara purata setiap minit pelawat naik kepada 12%  ke 34.8 minit," kata MDA dalam satu kenyataan media hari ini.

Secara keseluruhan merangkumi semua kategori tersebut menyaksikan Maybank2u mengekalkan reputasinya sebagai laman portal tempatan paling banyak dilawati berbanding yang lain sebanyak 2,041,000 pelawat, disusuli Mudah.my dan TheStar.com.my.

"Laman pengguna Maybank berkembang dengan baik dalam tempoh 12 bulan untuk menduduki tempat pertama bagi laman portal tempatan di Malaysia."

Laporan yang dihasilkan tersebut adalah berasaskan aplikasi untuk menjejak pelawat, comScore Media Metrix dan laporan yang dikeluarkan adalah berasaskan pengguna tempatan dan tidak mengambilkira pelawat antarabangsa.

Bagi laporan di Malaysia, laporan comScore Media Metrix dibuat berasaskan data daripada 150 ribu orang lebih yang memenuhi ukuran.

Dalam laporan setakat tahun lepas, Malaysia memiliki jumlah pengguna internet sebanyak hampir 17 juta lebih, bersamaan 60% daripada keseluruhan penduduk, serta antara negara tertinggi di rantau Asia.

Selain itu, internet juga memainkan peranan penting dalam dua pilihanraya umum iaitu tahun 2008 dan 2013 baru-baru ini, yang membawa perubahan drastik daripada segi corak masyarakat mendapatkan maklumat dan berita semasa.

Selain itu, internet juga sering dikaitkan dengan pihak pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan lebih ke depan berbanding kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) yang masih bergantung kepada media tradisional.

Tiada ulasan: