Isnin, 21 Oktober 2013

KPM tidak wajar belanja RM270 juta untuk khidmat tiga syarikat perunding asing: Zairil

zairil surau


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sewajarnya membelanjakan RM270 juta untuk menggunakan khidmat tiga juru perunding bagi merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 terutama bagi meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, matlamat itu adalah baik cuma kos bayaran kepada juru perunding berkenaan tidak sepadan dengan harganya kerana teklag sedia ada yang lebih murah dan lebih baik.

Katanya, baru-baru ini didedahkan KPM membayar RM20 juta kepada McKinsey & Co untuk perkhidmatan perundingan dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Bagaimanapun, beliau berkata, rupa-rupanya bayaran untuk khidmat nasihat perundingan sebanyak RM20 juta kepada McKinsey itu hanya sebahagian kecil daripada keseluruhannya.

“Mengikut jawapan Parlimen yang saya terima daripada Menteri Pendidikan, KPM telah melantik tiga perunding luar iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dalam program tiga tahun bertujuan “meningkatkan kapasiti” guru bahasa Inggeris di negara ini.

“Ketiga-tiga firma perunding itu dianugerahkan kontrak mulai 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma terbabit akan menyediakan 360 mentor penutur jati bahasa Inggeris (120 mentor setiap firma) sepanjang tempoh tiga tahun.

Zairil 2

“Jawapan Parlimen menyatakan selanjutnya bahawa sejumlah 7,500 guru daripada 1,800 sekolah akan dilatih, dengan tanggungjawab dibahagikan mengikut geografi. British Council ditugaskan menyediakan mentor untuk melatih guru di Labuan, Sabah dan Sarawak, Brighton Education Group akan melatih guru di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. manakala, SMR HR Group akan melatih guru di Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah dan Selangor.

“Dalam erti kata lain, hampir RM270 juta dibelanjakan untuk mengupah 360 mentor Inggeris berkenaan. Kos ini mencecah RM250,000 setahun bagi setiap mentor, atau hampir RM21,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, tidak kira apa penjelasan yang diberi KPM, tidak ada alasan munasabah yang boleh mewajarkan jumlah yang tidak masuk akal itu dibelanjakan bagi menyediakan apa yang sebenarnya merupakan cuti bergaji selama tiga tahun bagi 360 mentor penutur jati bahasa Inggeris.

Selain itu, katanya, berdasarkan laporan dan maklum balas yang diterima daripada guru yang menjalani program “sesi bersama mentor” hanya antara tiga hingga empat jam sebulan, ini serta-merta menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program mentor itu bagaimana seseorang itu diharap dapat menguasai sesuatu bahasa dengan hanya tiga hingga empat jam latihan sebulan

Beliau berkata, tambahan pula, jumlah perbelanjaan sebanyak RM270 juta untuk melatih 7,500 guru adalah bersamaan dengan RM36,000 bagi setiap guru dalam tempoh tiga tahun.

“Jumlah ini adalah lebih daripada kos untuk mendaftar guru yang sama ke program ijazah dalam bahasa Inggeris dengan struktur pembelajaran yang tersusun di sebuah universiti tempatan. Contohnya, Universiti Terbuka Wawasan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Bahasa Inggeris dengan kos kira-kira RM24,000, iaitu dua pertiga kos program mentor yang disediakan firma perundingan terbabit. Sementara itu, kos kursus diploma selama enam bulan dalam TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) hanya RM4,500 di kolej swasta tempatan.

“Meskipun matlamat untuk meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris adalah terpuji dan perlu diteruskan, namun ini sama sekali tidak membenarkan KPM bertindak sewenang-wenangnya melantik jururunding yang tidak sepadan dengan harganya, terutama apabila pilihan yang lebih murah dan lebih baik telah sedia ada,” katanya .Roketkini.com

Tiada ulasan: