Khamis, 10 Oktober 2013

Ketua Pembangkang Selangor dapat elaun dan keistimewaan

KEADILAN DAILY


SHAH ALAM : Kerajaan Selangor buat pertama kali dalam sejarah negeri ini akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang DNS yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.
MB
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Datuk Menteri Besar pada persidangan DNS.

“Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan,” jelasnya.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain dan semua berjumlah RM8,620 sebulan.

Menurut Khalid, pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parliem (Saraan) 1980.

Katanya, keputusan ini selari dengan hasrat Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat.

Tiada ulasan: