Sabtu, 5 Oktober 2013

Kerajaan Pusat digesa bela nasib 6,000 graduan GSTT


guru gstt1


SHAH ALAM : Kerajaan Pusat digesa membela nasib lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata, Kerajaan Pusat perlu memberikan penjelasan dan statistik kekosongan guru di semua sekolah agar dapat dinilai dengan perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, perkara itu menunjukkan kegagalan Kerajaan Pusat membuat perancangan sempurna yang membazirkan sumber negara.

Menurut Nie Ching, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Akan tetapi graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

“Graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang iaitu seramai 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah.

“Senarai calon dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya bermula pada bulan Januari tahun depan,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Tambah Nie Ching, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang.

Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri.

“Kesemua graduan tersebut menandatangani kontrak perkhidmatan selama 2 tahun dengan Kementerian maka ini menjadi halangan mereka mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.

“Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?,” katanya.

Nie Ching berkata, survey tidak rasmi menunjukkan bahawa seramai 100-120 kekosongan guru di sekolah rendah.

“Jika kekurangan sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh?

“Tambahan pula, pengajian DPLI  melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini menimbulkan satu keraguan besar,” katanya.

Tiada ulasan: