Selasa, 8 Oktober 2013

Kerajaan fobia abu akan jadi abu juga


Oleh Lim Hong Siang


KERAJAAN fobia abu akan dihantui abu buat selamalamanya. Kalau sebelum ini ABU (Asalkan Bukan Umno), maka sekarang abu. Untuk dua minggu sejak 16 September, kerajaan Umno 'memerangi' abu mayat Chin Peng habis-habisan, pada masa yang sama membeliakkan satu dunia untuk melihat betapa rendahnya darjat kerajaan ini.

Pertama, Umno cuba menampilkan bangsanya sebagai umat yang tidak berpegang kepada katanya kerana "sentimen". Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani pada tahun 1989, tetapi kertas hitam putih ini boleh diketepikan atas alasan "sentimen rakyat.”

Persoalannya, siapa yang menghasut kemarahan rakyat, khususnya di kalangan keluarga pasukan keselamatan?

Saya tidak terkata apa apabila terbaca laporan bahawa bekas tentera Thailand tampil untuk  memberi penghormatan terakhir dalam upacara pengkebumian Chin Peng. Tidak kurang anggota tentera Thailand yang terkorban dalam peperangan menentang Parti Komunis Malaya (PKM), tetapi untuk mereka, perjanjian telah dimeterai, dan "memaafkan" adalah pilihan yang lebih baik daripada terus diselubungi dendam sejarah.

Ironinya, jikalau sentimen rakyat dijadikan keutamaan kerajaan Malaysia, bagaimana kilang pemprosesan nadir bumi Lynas boleh dikekalkan di Gebeng, kononnya perjanjian telah ditandatangani, sedangkan meluap-luap "sentimen rakyat" menentangnya?

Paling bodoh apabila sesetengah pihak memberi alasan bahawa Chin Peng tidak diiktiraf sebagai warga negara Malaysia.

Persoalannya, mengapa kerajaan Malaysia menandatangai Perjanjian Damai Haadyai dengan seorang makhluk yang tidak diiktiraf, malah menuntut agar "warga asing" ini taat setia kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong dalam perjanjian tersebut?

Kemudian, PM Najib Razak memberi alasan bahawa Chin Peng tidak memohon untuk kembali ke Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan, namun tuduhan ini disanggah oleh rakan seperjuangan Chin Peng, kerana "nama Chin Peng antara yang muncul dalam senarai permohonan untuk kembali ke tanah air.”

Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi menampar muka sendiri apabila mendakwa dua kali Chin Peng ditawarkan pulang ke Malaysia. Persoalannya, jikalau Chin Peng dihalang kembali ke tanah air atas alasan "sentimen rakyat,” mengapa pula kerajaan memberi tawaran itu?

Sudah tentu ada pihak yang berbohong dalam pertikaian ini. Penyelesaiannya mudah, dedahkan dokumen yang berkaitan, dan rakyat akan tahu siapa yang menipu dalam isu ini. Bagi saya, apa pun alasan yang diberikan kerajaan Umno, kesemuanya dalih sematamata.

Jawapannya hampir didedahkan, apabila Zahid meluahkan kekhuatiran bahawa abu mayat Chin Peng boleh mendorong untuk pembinaan tugu peringatan. Kebimbangan di sebaliknya jelas, sejarah akan dikaji semula lantas sumbangan Umno akan dinilai semula dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Mustahil pertikaian sejarah mampu dirungkaikan dalam ruang pojok sekecil ini. Tetapi perkembangan kejadian abu mayat Chin Peng semakin "tidak masuk akal,” bukan kerana kebodohan kerajaan Umno, tetapi juga pendekatannya yang bercanggah dengan nilai sejagat.

Jikalau diambil dari sudut perkauman, akan dipertikaikan mengapa Pengerusi PKM, Abdullah CD dibenarkan balik, malah diberi pengampunan Sultan Perak. Tetapi saya melihat reaksi talam dua muka Umno lebih menjelekkan, apabila Parti Komunis China diberikan penghormatan setinggi-tingginya, sedangkan kita sedar PKM ditaja komunis China ketika itu. Panda komunis cuba dimasukkan ke Malaysia sungguhpun berjutajuta perbelanjaannya, tetapi abu mayat seorang komunis diperangi sebegitu rupa.

Pendek kata, Umno mengampu komunis kaya, menghina komunis miskin! Apa lagi yang menjelekkan?

Negara kita seolah-olah tidak mendukung semangat pemerintahan hukum (rule of law), apabila abu mayat dihalang masuk tanpa perlu undang-undang. Akhirnya Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar menemui Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit untuk menyekat kemasukan abu mayat. Persoalannya, jikalau hasil kajian saintifik menunjukkan bahawa abu mayat Chin Peng tidak membawa sebarang penyakit, apa lagi alasan untuk menghalangnya?

Politik menjadi satu-satu pertimbangannya sepanjang pertikaian ini. Atas nama politik, si mati boleh dinilai secara negatif, dicemuh, dihina, diadakan spekulasi tentang tarikh kematiannya dan sebagainya, tanpa perlu bertimbang rasa kepada keluarga mendiang. Jarangjarang kita mengambil kira elemen keperimanusiaan dalam hal ini.

Kita sedia maklum bahawa Chin Peng telah berapa kali memohon untuk kembali ke Malaysia sebelum meninggal dunia, malah mengheret kes ini ke mahkamah setelah permohonan beliau ditolak.

Bahkan dalam satu suratnya, Chin Peng merayu untuk kembali menggunakan pas lawatan sosial, sekadar untuk melawat keluarga dan kubur keluarganya.

Menyembah di depan kubur ibu bapa sebahagian daripada adat Cina, sebagai tanda kesetiaan seorang anak kepada orang tuanya. Saya tidak mahu mengambil pendekatan perkauman dengan dakwaan "budaya Cina tidak dihormati", tetapi untuk saya, sesuatu yang zalim apabila hasrat seseorang manusia untuk menyembah di depan kubur ibu bapanya dinafikan.

Saya terbaca catatan wartawan Malaysiakini, bagaimana beliau disediakan makanan halal oleh penganjur "komunis,” ketika Muslimat ini membuat liputan sepanjang upacara pengkebumian Chin Peng. Untuk saya, apa pun kutukan yang dilemparkan terhadap komunis, mereka tetap bermaruah kerana mereka menghormati maruah umat lain. Apa yang ditakutkan dengan abu?

Kita semua akan menjadi abu suatu hari nanti, termasuk kerajaan yang memerangi abu.

Tiada ulasan: