Ahad, 13 Oktober 2013

Kerajaan amal rasuah terbukti menerusi Laporan Ketua Audit Negara, kata Guan Eng

Oleh Md Izwan



























Ketirisan dan rasuah kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan bukti kajian Malaysia antara negara tertinggi amal rasuah oleh Ernst and Young adalah benar, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar).

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, anggaran kerugian berjumlah RM6.5 bilion yang dibuat oleh Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming adalah sesuatu yang perlu dipandang serius.

"Kajian terkini Ernst & Young yang mengatakan Malaysia antara negara tertinggi mengamalkan rasuah disahkan dengan ketirisan dan rasuah seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

 Dalam kajian oleh agensi kewangan tersebut, Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara yang kerap mengamalkan rasuah dan mengambil jalan pintas bagi mencapai sesuatu sasaran sewaktu dalam kegawatan ekonomi.

Malaysia dan China berada pada paras teratas dalam skala rasuah menurut penemuan terbaru Laporan Kajian Penipuan Asia Pasifik 2013. Kajian itu dijalankan kepada 681 eksekutif di China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Korea Selatan.

Separuh daripada eksekutif itu berpendapat China, Indonesia, Malaysia dan Vietnam paling banyak terlibat dalam rasuah.

Eksekutif yang terlibat dalam kajian ini mempunyai latar belakang  dalam sektor industri, perbankan, peruncitan dan sumber asli.

Kira-kira 39% mendapati rasuah diamalkan secara meluas di Malaysia, dua kali ganda daripada purata Asia Pasifik iaitu sebanyak 21%.

Malah, 29 peratus responden mendapati rasuah yang diamalkan di sini meningkat berikutan keadaan ekonomi yang semakin mendesak dan peningkatan dalam persaingan yang merupakan negara ketiga tertinggi dalam kajian itu.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini mencuri tumpuan banyak pihak, antara yang menjadi kontroversi adalah melibatkan kecuaian dan pembaziran seperti belanja RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, kehilangan aset Polis Di Raja Malaysia berjumlah RM 1.33 juta dan 7,659 pasang kasut untuk pegawai Jabatan Kastam yang dimusnahkan bernilai RM602,089.

Lim berkata, selagi tiada tindakan tegas oleh kerajaan BN, rakyat Malaysia akan berterusan berhadapan kerugian berjumlah bilion ringgit setiap tahun.

"Sehingga tindakan tegas diambil ke atas dalang tersebut, barulah rakyat Malaysia boleh melihat ketirisan dan rasuah ini boleh dihentikan," katanya.

Tiada ulasan: