Rabu, 16 Oktober 2013

Keputusan mahkamah tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, kata Wan Junaidi

OLEH DESMOND DAVIDSON

Perkasa disaran tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam. 


Perkasa disaran tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam

.Larangan penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald dan bukannya kepada penerbitan Kristian lain atau Bible dalam bahasa Melayu, Al-Kitab yang digunakan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab di Sabah dan Sarawak serta jaminan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 2011 masih terpakai.

Katanya, isu ini masih belum selesai dan beliau percaya kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

"Saya percaya akan ada lagi semakan kehakiman."

Wan Junaidi berkata keputusan oleh Mahkamah Persekutuan kelak akan mengakhiri segala perkara berbangkit.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Keputusan yang diputuskan mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan tidak menerima tekanan daripada sesiapa.

"Bermakna polis atau agensi lain tidak mempengaruhi keputusan mereka," katanya ketika ditemui dalam satu acara penyembelihan korban di Tabuan Hilir, Sarawak.

Namun, Wan Junaidi berkata kerajaan berpandukan undang-undang boleh menggunakan kuasanya untuk menarik balik keputusan mahkamah melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau memberi amaran kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak tidak mendatangkan apa-apa masalah di sana.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu sejak 100 tahun lalu dengan aman dan harmoni.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing turut senada dengan Madius.

"Datuk Zulkifli Noordin tinggalkan keputusan itu di Semenanjung dan jangan bawanya ke Sabah dan Sarawak untuk merosakkan keharmonian di sini."

Masing-masing turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keputusan itu terpakai kepada Al-Kitab akan memungkiri janji Datuk Seri Najib Razak di Sibu pada 2010.

"Sekiranya perkara itu benar berlaku akan merosakkan kredibiliti Barisan Nasional (BN) dan Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan: