Selasa, 15 Oktober 2013

Keputusan Mahkamah Rayuan luaskan kuasa menteri, kata DAP

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK



















DAP melihat keputusan Mahkamah Rayuan tidak membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan kalimah Allah hanya akan menambah kuasa Menteri Dalam Negeri bagi mengharamkan penerbitan yang difikirnya “mengelirukan”.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua (gambar) berkata dengan kuasa yang ada pada Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mengharamkan kitab suci kaum Sikh atas desakan sebelum ini yang mahu mengharamkan kalimah Allah digunakan di gereja di timur dan barat Malaysia.

"Mahkamah bukan sahaja menggunakan kuasanya membuat penghakiman tidak berlandaskan Perlembagaan yang digubal di Parlimen tetapi menggunakan pandangan sendiri yang berat sebelah.

 "Keputusan semalam juga menafikan hak kumpulan minoriti dengan hanya melihat desakan kumpulan majoriti di samping mengiktiraf salah guna kuasa oleh menteri.

"Maka, sewajarnya keputusan sebegini dicabar di Mahkamah Persekutuan kerana bukan setakat menjejaskan kepentingan agama tertentu tetapi kuasa hakim yang membuat penilaian sendiri tanpa berpandukan Perlembagaan dan fakta kes," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pua berkata mahkamah tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tunjang dalam sesebuah agama di Malaysia dan menyifatkan keputusan yang disampaikan semalam tidak relevan.

Katanya, keputusan mahkamah semalam jelas melanggar Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni selain Artikel 11 menyebut setiap kumpulan agama mempunyai hak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri.

"Mahkamah Rayuan semalam jelas berat sebelah dan tidak melindungi hak kaum minoriti. Artikel 8 ada menyebutkan semua orang adalah sama dan berhak mendapat perlindungan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming melihat keputusan semalam oleh mahkamah sebagai penghakiman kurang matang kerana penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah lama menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan dalam doa dan lagu mereka.

Katanya, keputusan semalam sangat dikesali dan boleh mengganggu keharmonian di antara umat Islam dan Kristian di Malaysia Timur.

"Keputusan penghakiman semalam dilihat ekoran kegusaran kalimah Allah akan dijadikan medan penganut Kristian untuk memurtadkan umat Islam melalui penerbitan gereja. Kalimah itu telah lama digunakan di Malaysia Timur tanpa ada ancaman murtad didedahkan.

"Selaku penganut Kristian, saya menyeru rakan-rakan seagama untuk berdoa demi kesejahteraan negara dan keputusan Mahkamah Persekutuan nanti lebih memihak kepada kepentingan hak asasi manusia.

"Saya juga menyeru agar rakan-rakan saya yang beragama Islam mengambil kesempatan mengunjungi gereja menggunakan pengantaraan bahasa Melayu supaya dapat melihat sendiri kalimah itu telah digunakan tetapi tidak sekali-kali mengancam kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tiada ulasan: