Sabtu, 12 Oktober 2013

Kalimah "ALLAH" Di Tokong Terhasil Dari Imbasan Cahaya

KELAB GREENBOC


Pasir Panjang - “Perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan apa yang pasti, keputusan nanti adalah yang terbaik bagi memelihara sensitiviti agama,” kata Adun Linggi, Abd Rahman Mohd Redza ketika diminta mengulas berkenaan gambaran kalimah ALLAH dalam tulisan jawi yang kelihatan di bumbung sebuah tokong di Pekan Pasir Panjang.

Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan rumah ibadah itu bagi mengelak kalimah ALLAH SWT di hadapan tokong tersebut terus kelihatan.

“Bagaimanapun, saya percaya ini semua terjadi secara kebetulan di mana tiada sesiapa berniat negatif dalam mempersendakan agama Islam ataupun menyentuh sensitif sesuatu kaum,” katanya.

Abd Rahman berkata, hasil tinjaunya mendapati kalimah tersebut terhasil daripada imbasan pencahayaan daripada tiang lampu berhampiran tokong tersebut.

“Orang ramai jangan membuat sebarang andaian negatif dan cepat melatah kerana ia boleh memecahkan perpaduan serta mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani masalah yang kecil ini.

“Kemungkinan besar bumbung tersebut akan dicat warna hitam tetapi kita masih di peringkat perancangan dan masih di tahap perbincangan bagi menghilangkan pantulan kalimah ALLAH SWT terbabit,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan sebuah tokong di Pekan Pasir Panjang menjadi tumpuan orang ramai selepas tersebarnya di laman sosial facebook yang memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang terbentuk kalimah ALLAH SWT. -SH


Bumbung tokong terbentuk nama ALLAH?


PASIR PANJANG - Gara-gara penyebaran gambar di dalam laman Facebook, sebuah tokong di pekan Pasir Panjang, dekat sini dikerumuni lebih 200 penduduk sekitar, malam kelmarin.

Semuanya kerana sebuah laman Facebook memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang dikatakan terbentuk kalimah ALLAH, menyebabkan penduduk datang ke luar kawasan tokong berkenaan bagi menyaksikan sendiri dakwaan tersebut.

Seawal jam 8 malam lagi, mereka berpusu-pusu datang ke tokong berkenaan untuk melihat, sekali gus merakamkan gambar bumbung tersebut.

Tidak kurang juga, ada individu yang melalui jalan Pasir Panjang-Port Dickson ini turut memberhentikan kenderaan mereka untuk mengetahui cerita sebenar.

Berikutan itu juga, sepasukan polis terpaksa ditugaskan mengawal keadaan berikutan jumlah orang ramai bersilih ganti serta berkumpul di kawasan berkenaan.

Menurut Sin San Huo, 63, yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersebelahan rumah ibadah itu berkata, dia hairan melihat orang ramai datang dan berkumpul di depan bangunan itu.

"Saya telah lama menetap dan berniaga di sini, namun tidak pernah perasan tentang perkara itu. Malah, sebelum ini tiada siapa yang bercerita tentangnya. Entah bagaimana hari ini (kelmarin) tiba-tiba boleh wujud cerita semacam itu.

“Tokong ini berusia lebih 100 tahun dan jika tidak silap, bumbung didakwa membentuk tulisan jawi itu baru sahaja diubah suai kurang 10 tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Khairul Ali, 36, berkata, orang ramai datang untuk melihat sendiri selepas perkara itu tersebar di laman sosial.

“Pada pandangan saya, perkara ini berlaku bukan disengajakan mana-mana pihak dengan niat tertentu tetapi ia adalah satu kebetulan dan pastinya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“Namun adalah wajar sekiranya pihak berkuasa terutamanya jabatan agama segera membuat penjelasan mengenai dakwaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti agama.

“Apabila terlalu ramai orang berkumpul dan tiada pihak memantau, kita khuatir akan berlaku pergaduhan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai hanya dapat melihat bentuk kalimah ALLAH itu pada waktu malam apabila mereka berada di kedudukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 meter daripada rumah ibadah tersebut.

Pada waktu siang, apa yang kelihatan pada bumbung itu hanyalah lekuk-lekuk seni bina bumbung rumah ibadah itu tanpa lakaran kalimah ALLAH. Malah, jika lampu jalan berhampiran tokong itu dipadamkan, lakaran kalimah itu juga tidak kelihatan.
-SH

Tiada ulasan: