Khamis, 10 Oktober 2013

Dr Mahathir sokong Zahid Hamidi supaya “tembak dahulu” jika diacu pistol

OLEH YISWAREE PALANSAMY

Tun Dr Mahathir meninjau tapak pembinaan projek Mass Rapid Transit di Kuala Lumpur. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2013.Tun Dr Mahathir meninjau tapak pembinaan projek Mass Rapid Transit di Kuala Lumpur. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,























Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya "tembak dahulu" kerana bekas perdana menteri itu berpendapat beliau lebih suka membiarkan penjenayah menghadapi risiko ditembak daripada melihat polis dalam bahaya.

"Apabila seseorang mengacukan pistol untuk menembak awak, awak tembaklah dahulu," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dasar  Ahmad Zahid yang membenarkan "tembak dahulu" merujuk kepada penjenayah dalam ucapannya di Melaka baru-baru ini.

 Dr Mahathir bagaimanapun berkata, prosedur yang betul mesti dipatuhi sebelum menggunakan senjata api.

"Jangan pergi menembak senjata anda merata tempat atau tembak mereka yang tidak bersalah," katanya.

Ahmad Zahid pada majlis taklimat keselamatan kepada pemimpin masyarakat pada hujung minggu lalu di Ayer Keroh berkata, tiada apa yang salah dengan tindakan menangkap lebih 40,000 samseng terkenal di negara ini yang  separuh daripadanya adalah kaum India.

Beliau juga mencadangkan dasar  "tembak dahulu" kepada polis dalam menangani ahli kongsi gelap yang disyaki dalam keadaan di mana kebanyakan mangsa adalah orang Melayu.

"Apakah keadaan mangsa rompakan, mangsa pembunuhan semasa tembakan? Kebanyakan mereka adalah orang Melayu kita. Kebanyakan mereka adalah bangsa kita," kata Zahid sebagaimana yang dipetik oleh portal berita Malaysiakini.

Portal ini mendapat rakaman video ucapan menteri berkenaan.

"Saya fikir cara terbaik adalah kita tidak lagi bertolak ansur dengan mereka. Tidak ada keperluan untuk memberi mereka amaran lagi. Jika (kami) ada bukti, (kami) tembak dahulu," katanya, merujuk kepada suspek jenayah.

Bagaimanapun, kenyataan ini menyebabkan Ahmad Zahid berada dalam kepanasan apabila peguam dan aktivis hak asasi manusia mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memecat Zahid.

Walaupun beberapa ahli politik melihat kenyataan Ahmad Zahid sebagai strategi kempen dalam pemilihan Umno untuk jawatan naib presiden, ia dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa yang terlalu ketara.

Ahmad Zahid bagaimanapun mempertahankan kenyataan "tembak dulu, cakap kemudian" melalui akaun Twitternya.

Melalui Twitternya,  beliau mempersoalkan mengapa aktivis hak asasi manusia lebih prihatin dengan kesejahteraan penjenayah berbanding dengan keselamatan polis dan mangsa.

"Mana ada hak asasi untuk polis dan mangsa rompak, tembak dan bunuh. Kenapa pejuang hak asasi tidak pun membela? Hak asasi hanya untuk penjenayah?," kata Ahmad Zahid dalam Twitternya.

Tiada ulasan: