KUALA LUMPUR: DAP hari ini menggesa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek menjelaskan mengapa Projek Penandaan Diesel Bersubsidi (PPDB) tidak lagi dikaji semula penggunaannya dengan serta merta.
Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping berkata, tidak ada sebab mengapa PPDB dihentikan setelah ia berkesan dalam menangani sindiket menjual diesel bersubsidi.
Menurutnya, tidak ada penjelasan diberikan sedangkan PPDB adalah penyelesaian berkesan yang turut digunakan di banyak negara contonya United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Kami ingin mengetahui kenapa ia dihentikan dan apakah rancangan menyeluruh dan langkah kerajaan bagi menangani isu menjual diesel subsidi?,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.
Dalam jawapan kepada soalannya di sidang Dewan Rakyat, Hassan menyatakan PPDB ditamatkan perkhidmatan pada Mac 2011 setelah lima tahun penggunaannya.
Beliau juga mendakwa, kerajaan sedang meneliti dan menilai langkah lain yang lebih sesuai bagi menangani isu sindiket menjual diesel subsidi.
Mengecam jawapan Hassan itu, Julian Tan menegaskan kini semakin membebankan rakyat akibat kekurangan diesel yang masih wujud terutama di Sarawak dan Sabah walaupun kedua-duanya adalah negeri pengeluar minyak.
“Jawapan yang diberi sangat tidak munasabah kerana walaupun adanya langkah diambil, namun ia jelas tidak berkesan dalam menangani sindiket menjual diesel di mana mereka ternyata mempunyai ‘network’ yang lebih berkesan daripada dikesan kerajaan.
“Kedua, sebarang langkah dijalankan kerajaan memerlukan kakitangan yang ramai serta mengambil masa. Ini juga mengakibatkan tidak berkesan dalam menjalankan langkah itu.
“Saya juga hairan, mengapa PPDB dihentikan? Walhal maklum balas yang kita dapati sepanjang pelaksanaannya ia sangat berkesan dalam menangani isu ini serta merupakan penyelesaian langsung dengan penyalah guna diesel subsidi boleh dikesan dengan serta merta oleh penguatkuasa,” tegasnya.
Pada sidang media sama, Ahli Parlimen DAP Sibu, Oscar Ling turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang tidak serius menangani penyeludupan diesel sehingga membebankan golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Kerajaan mesti mengatasi masalah penyeludupan subsidi ini, 10 peratus diesel kerajaan disalahgunakan.
“Penyeludupan ini sudah melebihi RM1.1 bilion, ia menjadi satu masalah yang cukup besar, jadi kerajaan harus selesaikan segera bukan mengambil tindakan potong subsidi kerana pemotongan ini membebankan rakyat miskin.
“Saya harap kerajaan menjalankan tindakan serius dalam isu salah guna ini, pemotongan subsidi tidak memberi penjimatan ia jelas tidak berkesan. Timbang rasalah kepada rakyat,” ujarnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan