Khamis, 10 Oktober 2013

Dana Tekun kepada yang layak, bukan tumpu ahli Umno – Zuraida

KEADILAN DAILY


Sebagai skim pembiayaan kewangan kebangsaan, Tekun atau nama penuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, haruslah dibuka pada semua calon Melayu yang berkelayakan dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada ahli-ahli Umno sahaja, sebagaimana yang didakwa oleh Ketua Pegawai Eksekutif badan tersebut semasa satu sidang akhbar pada 7 Oktober 2013.

Sehingga kini sebanyak RM2.42 bilion telah diagihkan kepada 237,173 usahawan yang berkelayakan tetapi hanya RM1.43 bilion telah dibayar semula oleh peminjam-peminjam tersebut. Ini bermakna ahli-ahli Umno masih berhutang kepada agensi kebangsaan tersebut sebanyak kira kira RM1 bilion.

Zuraida

Umno dan Tekun perlulah diingatkan bahawa Tekun adalah sebuah dana awam dan pengagihan dana awam tersebut haruslah disalurkan kepada orang ramai dan tidak seharusnya disalahgunakan sebagai satu cara “pinjaman khas” wang awam kepada ahli-ahli Umno.

Sebagai parti pemerintah, Umno bertanggungjawab kepada seluruh umat Melayu di negara ini dan bukan sahaja kepada ahli ahli partinya.

Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa pinjaman yang telah diberikan haruslah dibayar balik oleh peminjam dan jika pinjaman itu tidak diselesaikan dalam tempoh yang sepatutnya tindakan haruslah diambil kepada peminjam tersebut.

Setelah 56 tahun Umno BN di tampuk pemerintahan negara, adakah nasib orang Melayu lebih baik dari nasib mereka setengah abad yang lalu? Atau adakah UMNO hanya mampu mencipta segelintir golongan elit menjadi jutawan tetapi menjadikan sebahagian besar orang Melayu di Malaysia ini bergelut untuk mencari nafkah setiap hari dengan menjalani hidup yang susah?

Saban tahun, laporan Ketua Audit Negara telah mengenal pasti percanggahan dan bagaimana dana awam telah disalah urus oleh agensi di peringat negeri dan juga nasional. Keadaan ini amatlah mengecewakan apabila mengetahui bagaimana dana awam telah diselewengkan oleh pimpinan kerajaan Umno BN.

Antara isu yang paling kontroversi baru-baru ini adalah tentang bagaimana RM1.6 juta yang dibayar oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk 3 persembahan K-POP semasa perayaan Hari Belia Kebangsaan tahun lalu. Saya telah mengemukakan soalan pada Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri
bertanggungjawab ketika itu tetapi beliau menafikannya. Walau bagaimanpun,laporan Ketua Audit Negara telah menceritakan sebaliknya.

Di mana sebenarnya terletak akauntabiliti kerajaan pimpinan Umno ini?

Tidak ada alasan yang lebih munasabah kepada kerajaan pimpinan Umno ini untuk mempunyai pengurusan kewangan yang buruk dan lemah. Sekiranya Umno tidak boleh memastikan pengurusan kewangan yang lebih cekap dan amanah selama 56 tahun ini, ini adalah masa terbaik untuk memberi laluan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN
Ahli Parlimen Ampang

Tiada ulasan: